Rabu, 5 Oktober 2011

Malaysiakini Cabar Keputusan Tidak Pertimbang Mohon Terbit Akhbar


TVS NEWS


Pengendali laman berita Malaysiakini,Mkini Dotcom Sdn Bhd menfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Kementerian Dalam Negeri yang tidak mempertimbangkan permohonan bagi menerbitkan suratkhabar.

Mkini Dotcom menfailkan permohonan itu pada 28 September tahun lepas di MahkamahTinggi Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas. Media memperolehi salinan permohonan itu hari ini lapor Bernama.

Syarikat itu dalam permohonannya menamakan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Semasa kes disebut hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Abang Iskandar Abang Hashim menetapkan 21 Oktober bagi pengurusan kes.

Mkini Dotcom berkata pihaknya melalui pengarahnya J.Premesh telah memohon untuk satu permit penerbitan di bawah Seksyen 6(1)(a) Akta 301 bagi penerbitan suratkhabar harian baru bertajuk ‘Malaysiakini’.

Syarikat itu berkata suratkhabar itu yang akan diedarkan di Lembah Klang dengan penerbitan harian sebanyak 40,000 naskah, dengan harga RM1 senaskah hanya melaporkan berita mengenai isu semasa, termasuk isu-isu politik, secara bebas dan tidak berpihak.

Peguam yang mewakili Mkini Dotcom K.Shanmuga memberitahu media bahawa mahkamah juga menetapkan tarikh sama bagi syarikat itu membalas afidavit responden-responden.

Tiada ulasan: