Rabu, 26 Oktober 2011

Konsep 'Membawa Pejabat Ke Rumah' Pertingkat Sistem Penyampaian Berkesan

Oleh Mohd Ezli Mashut


Subang Jaya : Kerajaan Selangor memperkenalkan konsep 'membawa pejabat ke rumah' dalam usaha memperbaiki sistem penyampaian dan perkhidmatan kepada rakyat menggunakan teknologi ICT selaras usaha meningkatkan kualiti pentadbiran dan pengurusan kerajaan.

Justeru bagi merealisasikan hasrat ini, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mahu perkara ini dilaksanakan di Selangor dengan langkah awal dengan pengenalan sistem digital tanah di Selangor menggantikan sistem lama yang menggunakan fail yang sudah tidak efisien.

"Pejabat tanah kita dapati tugas yang paling besar tiap-tiap negeri ialah mengurus, mentadbir dan menentukan tentang pengurusan tanah, saya dapati masalah terbesar ialah terlalu banyak fail.

Saya dapati tanah di Selangor adalah lebih dua juta, di Subang Jaya sahaja pemilik-pemilik rumah strata lebih daripada 150,000 ," katanya semasa program Bicara Tokoh di Majlis Perbandaran Subang Jaya.

Abdul Khalid menjelaskan lagi dengan penggunaan inovasi teknologi berkomputer ini merupakan usaha yang dapat menyelesaikan masalah fail-fail urusan tanah yang menimbun melambatkan urusan kepada rakyat.

Justeru dengan adanya sistem pendigitalan tanah di Selangor segala urusan akan lebih pantas dan tepat kerana pegawai yang menguruskan hal ehwal tanah mempunyai capaian yang lebih pantas sekaligus meningkatkan kualiti perkhidmatan.

"Jawapan kepada sistem rekod itu ialah teknologi yang dapat menyimpan dengan tidak menggunakan sistem berpuluh-puluh fail. Jawapannya ada maknanya kini kita sudah ada apa yang dikatakan teknologi digital di mana data dimasukkan ke dalam komputer di mana semua fail tanah dimasukkan ke dalam program dan sekarang kita boleh tahu apapun maklumat yang ada dalam enjin carian dan dapat fail itu kembali," katanya.

Menurut Abdul Khalid lagi, kini Pejabat Tanah dan Galian Selangor sedang melaksanakan sistem pendigital tanah sebanyak 1.3 juta fail dimasukkan ke dalam rekod dan kelak cip maklumat tersebut akan menggunakan komputer seperti Ipad yang mudah dibawa dan diakses di mana-mana sahaja.

"Kita sudah mulakan menunjukkan kepada orang ramai bahawa Selangor adalah negeri termaju di Malaysia," ujarnya.

Tiada ulasan: