Khamis, 20 Oktober 2011

Kes MyKad bertindih diselesai luar mahkamah


MALAYSIA KINI

Penyelesaian luar mahkamah dicapai di antara pihak-pihak yang terlibat dalam saman sivil terhadap kerajaan berkaitan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang mengeluarkan dua kad pengenalan dengan nama dan nombor yang sama bagi individu berbeza.

Peguam Yusfarizal Yusoff, yang mewakili Muhammad Daud Salleh, berkata penyelesaian pada 13 Oktober lalu melibatkan pampasan sejumlah wang tunai yang tidak didedahkan.

Kerajaan juga akan membantu Muhammad Daud, 42, meminda semua dokumentasi dan pemandu teksi itu akan juga diberikan MyKad baru dengan nombor baru.

"Kerajaan telah bersetuju untuk membayar suatu amaun yang tidak boleh didedahkan, mengeluarkan MyKad baru dengan nombor yang berbeza dan untuk memadam semua rekod yang berkaitan dengan nombor lama," katanya ketika dihubungi.

Yusfarizal berkata perintah mahkamah juga akan dihantar kepada pihak-pihak yang menuntut pembayaran balik bagi pinjaman dan bayaran denda yang dilakukan oleh penyamarnya, ketika menggunakan MyKad anak guamnya.

"Tetapi ini bukan sebahagian daripada penyelesaian itu," katanya.

Tiada ulasan: