Rabu, 26 Oktober 2011

Kerajaan Selangor Komited Bela Kaum India

Oleh Mohd Ezli Mashut



SHAH ALAM : Setiap tahun, sekitar RM5 juta diperuntukkan untuk pendidikan kaum India di samping kelulusan tanah dan pembinaan kuil berdasarkan keperluan mengikut saringan Majlis Bukan Islam yang ditubuhkan,kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sempena perutusan Sambutan Deepavali.

Menurut Abdul Khalid, Kerajaan Selangor sentiasa komited untuk membantu pelbagai isu berkaitan keperluan kaum India dan penganut agama Hindu, lazimnya dalam hal bantuan pendidikan dan juga kuil.

"Negara kita mempunyai sejarah yang unik dalam hal kepelbagaian agama serta kepercayaan. Sebab itu Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan kepada semua penganut agama.

Agama Hindu merupakan satu daripada agama yang utama diamalkan di negara kita. Di Selangor, daripada sekitar 5.3 juta penduduk, 16 peratus berketurunan India dan majoritinya beragama Hindu," katanya.

Abdul Khalid juga menyeru agar semua dapat bersama saling mengenali, menghormati, memahami serta menerima persamaan dan perbezaan yang ada yang penting dalam usaha memelihara kerukunan hidup bermasyarakat.

"Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Perayaan Deepavali kepada seluruh penganut agama Hindu, khususnya di negeri Selangor Darul Ehsan.

Semoga Deepavali kali ini menguatkan iltizam para penganut agama Hindu untuk memastikan kebaikan dan keadilan sentiasa dapat mengatasi kejahatan dan kezaliman," katanya.

Sempena Deepavali , Abdul Khalid akan melawat Little India pada 24 Oktober 2011 dan menghadiri Program Karnival Deepavali peringkat negeri Selangor di Pekan Rawang pada 7 November 2011.

Tiada ulasan: