Selasa, 25 Oktober 2011

Ke mana hilangnya RM110 juta wang petani ?

Oleh: Masdar Wahid

PETALING JAYA : KEADILAN Selangor menuntut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar menjawab isu mengenai ‘kehilangan’ RM110 juta peruntukan untuk golongan pesawah dan petani.

Ketua Penerangannya, Shuhaimi Shafiei berkata, peruntukan itu sepatutnya disalur kepada golongan terbabit bagi meningkatkan hasil padi mereka seperti dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010.


“Namun, seperti yang dinyatakan dalam laporan Ketua Audit Negara semalam, peruntukan itu tidak sampai kepada sasaran,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat KEADILAN di Petaling Jaya hari ini.

“Buat permulaan, kita tuntut penjelasan dari Datuk Seri Noh Omar mengenai isu ini dan jika enggan jawab, ini membuktikan kegagalan beliau sendiri, selaku menteri berkenaan dan pemimpin Umno Selangor secara keseluruhan yang mengkhianati wang rakyat khasnya petani,” tegasnya.

Beliau turut bimbang jika wang itu berkemungkinan disalur untuk tujuan selain kepentingan petani sebagaimana yang sepatutnya.

Selain menjadi menteri, bertanggungjawab, Noh Omar ialah Timbalan Pengerusi Umno Selangor dengan Pengerusinya ialah Datuk Seri Najib Razak.

Semalam, berdasarkan laporan Ketua Audit Negara 2010, Kerajaan Persekutuan didapati masih belum membayar sebanyak RM110.67 juta kepada kira-kira 73,291 pesawah padi menerusi Skim insentif Peningkatan Hasil Padi (IPH) sejak 2007.

Insentif di bawah kementerian Industri Asas Tani itu bertujuan memberi galakan kepada petani untuk meningkatkan hasil padi semasa dan sara diri mereka.

Tiada ulasan: