WarkahDaily
‘Engkau dapat seringgit, aku dapat dua ringgit, engkau dapat lagi seringgit, aku pun dapat tiga ringgit’.
Memanglah tak dinafikan ada sebilangan rakyat Malaysia dapat merasa RM500 dan kakitangan awam dapat merasa bonus dan kenaikan gaji tapi manfaat besar hasil perbentangan bajet Najib tempoh hari adalah menjadi milik jutawan Low Taek Jho (dikenali Jho Low) iaitu rakan baik isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Sebelum ini PKR mendakwa, Jho Low telah dianugerahkan Datuk Seri Najib Razak projek pembangunan semula Pangkalan Udara Sungai Besi dengan perjanjian bernilai kira-kira RM500 juta.
Pengumuman pembangunan semula pangkalan udara berkenaan oleh Najib yang dilihat tergesa-gesa menswastakan aset negara itu untuk mendapatkan keuntungan segera.
Menurut Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub, projek berkenaan kini menjadi keutamaan Najib dalam Bajet 2012 dan turut dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke 10 (RMK 10).
‘Engkau rakyat, aku bagi RM500, kat Jho Low, aku bagi RM500 juta’. Hamprak!
Dipetik dari Keadilandaily, Salahuddin berkata, Bajet 2012 lebih mementingkan projek-projek yang bersifat ‘projek Taek Jho Low’ dari menyelesaikan masalah dan penderitaan rakyat seperti projek tebatan banjir di negeri Kelantan, Kedah dan Sabah.
“Ini belanjawan rakyat atau belanjawan Taek Jho Low?,” soal beliau seperti dilapor Harakahdaily.
Sebelum ini menjadi pengetahuan umum Rosmah Mansor mempunyai hubungan rapat dengan jutawan muda tersebut.
Malah Jho Low baru-baru ini mengakui beliau adalah kawan baik kepada Rosmah dan turut dilapor memiliki sebuah penthouse di New York yang secara kebetulan dikatakan hanya 10 minit dari syarikat pengeluar berlian, Jacob & Co.
Rosmah sebelum ini dikaitkan dengan pembelian berlian bernilai RM24 juta dari Jacob & Co.
Nama Jho Lho sebelum ini turut dikaitkan sebagai penasihat kepada Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) sebelum ia diperbadankan menjadi 1MDB.
Pada Jun 2010, Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Lapangan Terbang Tentera Udara Sungai Besi dipindahkan dan tapaknya dijual kepada 1MDB.
Menurut Salahuddin, sehingga kini, rakyat masih menanti jawapan apa perlunya 1MDB melabur sebanyak RM3.5 bilion dalam Petrosaudi International Limited yang kemudian melabur lebih RM1.5 bilion dalam UBG Berhad.
UBG Bhd ialah syarikat milik keluarga Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud di mana Jho Low merupakan salah seorang ahli lembaga pengarahnya.
Kerajaan, katanya, sepatutnya menjelaskan terlebih dahulu keraguan-keraguan tersebut sebelum meneruskan tindakan memajukan Pangkalan Udara Sungai Besi yang dipertikaikan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan