"Pada mulanya cuaca elok, kemudian hujan renyai-renyai turun. Secara tiba-tiba sahaja ia bertukar menjadi ribut kencang," kata seorang penduduk.
ABONG (Sarawak): Enam sekeluarga di Kampung Gerigat dekat sini hilang tempat berteduh ekoran kediaman mereka rosak teruk akibat dilanda ribut malam tadi.
Dalam kejadian pada kira-kira jam 9.30 malam itu, kesemua penghuni rumah berkenaan sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah terbabit.
Pemilik rumah, Mohamad Tiong Abdullah, 68, memberitahu, kejadian tersebut berlaku begitu pantas dan angin kencang melanda dalam tempoh kurang daripada 10 minit.
“Saya ketika itu sedang menonton televisyen dan secara tiba-tiba saya terdengar ada satu bunyi kuat yang diikuti dengan simbahan air hujan.
“Saya terus bergerak keluar rumah dan mendapati bumbung rumah saya sudah hilang. Saya terus arahkan semua ahli keluarga untuk berlari keluar bagi mengelak dari ditimpa objek keras dari runtuhan tadi,” katanya.
Salah seorang anak lelakinya, Ali Mohd Tiong, 27, memberitahu sebaik rumah mereka tidak lagi berbumbung hujan pula turun dengan lebat sekali menyebabkan kesemua barangan di rumah tersebut basah.
“Kami tidak dapat berbuat apa-apa selain menyelamatkan dokumen penting. Lepas itu kami menumpang di rumah jiran sebelah.
“Pada mulanya cuaca elok, kemudian hujan renyai-renyai turun. Secara tiba-tiba sahaja ia bertukar menjadi ribut kencang. Bahagian bumbung rumah kami diterbangkan angin sejauh kira-kira 100 meter,” ujarnya.
Menurut Ali lagi, bahagian atap rumah tersebut baharu sahaja diganti dengan menelan kos RM12,000 sebelum Hari Raya yang lalu.
Namun demikian, keluarga tersebut bersyukur kerana tiada anggota keluarga yang cedera.
Ali menganggarkan kerugian akibat kejadian itu mencecah RM60,000 dengan kebanyakan alatan elektrik dan barangan milik keluarga mereka rosak akibat hujan lebat semasa kejadian.
Pegawai Tadbir Sarawak Kabong, Nazari Bujang turut melawat rumah mangsa pagi tadi.
Menurut Nazari, pihaknya dengan kerjasama pihak yang berkenaan akan berusaha memberi bantuan yang sepatutnya kepada mangsa dalam tempoh terdekat bagi meringankan bebanan keluarga tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan