Selasa, 25 Oktober 2011

Isu UIA: Najib takut temu mahasiswa, dakwa wakil pelajar

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menyifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak takut untuk berhadapan dengan perkembangan semasa dengan sanggup membatalkan kunjungan saat-saat akhir ke pusat pengajian tinggi itu.

Berdasarkan jadual asal Najib sepatutnya mengadakan lawatan ke UIA bagi menyempurnakan final debat Piala Perdana Menteri antara universiti malam ini.

Ekoran demonstrasi Jumaat lalu, SMM merancang untuk meneruskan protes dengan menyerahkan memorandum kepada Najib (gambar) hari ini.

Dalam satu kenyataan pagi ini, Pengerusi SMM Ahmad Syukri Ab Razab berkata, SMM menyifatkan bahawa tindakan Perdana Menteri membatalkan lawatan malam ini adalah atas dasar takut untuk berdepan dengan mahasiswa.

“SMM masih berpendirian untuk meneruskan perjuangan mempertahankan kebebasan akademik. Perjuangan SMM adalah mempertahankan kebebasan akademik dan bukan hanya mempertahankan Prof Dr Aziz Bari,” kata beliau merujuk kepada isu menyelubungi Aziz.

UIA sedang menyiasat Aziz berhubung kentataannya menyentuh titah Sultan Selangor awal bulan ini.

Banyak pihak mengkritik tindakan UIA mengeluarkan surat tunjuk sebab dengan menggantung tugas Aziz sejak Rabu lalu.

Beberapa jam selepas Aziz menjawab surat tunjuk sebab petang semalam, UIA menarik balik penggantungan tugas dan beliau diminta lapor diri hari ini.

Jumaat lalu, sekitar 700 pelajar mengadakan demonstrasi di kampus UIA mendesak tindakan ke atas Aziz ditarik balik.

Dalam kenyataan hari ini, Syukri berkata, demonstrasi dan penyerahan memorandum pada malam ini tetap akan berlangsung.

“Kami menjangkakan, (Menteri Dalam Negeri) Datuk Seri Hishammuddin Hussien akan menerima memorandum kami pada malam ini selaku wakil Perdana Menteri,” kata beliau.

Tiada ulasan: