Khamis, 6 Oktober 2011

Isu DUMC: Tunggu keputusan Istana, kata exco

Abdul Rahim Sabri

Exco hal ehwal agama Selangor Datuk Dr Hasan Ali tidak dapat memastikan bilakah Sultan Selangor akan mengumumkan laporan lengkap berhubung tindakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).

Dr Hasan ketika ditanya dalam satu sidang media hari ini berkata, ia "bukan dalam bidangnya" untuk mengulas perkara tersebut

"Itu rundingan antara Menteri Besar (Tan Sri Khalid) dan Tuanku. Saya belum meninjau perkara itu, elok kita tunggu (keputusan) daripada Istana," katanya lagi.

Beliau ditanya demikian susulan kenyataan menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim pada 28 September lalu bahawa Sultan Selangor sendiri dijangka bertitah berhubung isu tersebut dalam masa terdekat.

Khalid dalam kenyataannya berkata, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah bersetuju memberikan pandangan dan nasihat untuk menyelesaikan isu itu dengan cara terbaik.

Dalam pada itu, Hasan juga berkata beliau kini masih menunggu "kelapangan" daripada Sultan Selangor untuk berbincang lanjut berhubung isu pemberian tauliah kepada ahli politik.

Katanya lagi, beliau juga ingin bertemu dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi membincangkan perkara itu..

"Kita tengok kelapangan yang ada pada Istana, kelapangan yang ada JAIS dan MAIS.

"Tetapi apa pun, kelapangan istanalah lebih penting daripada kelapangan orang lain," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Implementasi Dasar dan Strategi: Peranan Media Dalam Mendepani Ancaman Akidah di Shah Alam hari ini.

Menurutnya lagi, tindakan JAIS tidak memberikan tauliah kepada ahli politik menyebabkan "timbulnya sedikit keraguan, kekeliruan dan tidak puas hati" di kalangan pengamal dakwah yang secara kebetulan merupakan ahli politik.

Tiada ulasan: