SABAH DAILY
Kuala Lumpur: "Saya meragut sebab tak ada duit... lagipun saya baru habis belajar," demikian pengakuan salah seorang daripada dua suspek yang ditahan selepas cuba meragut beg seorang wanita di Jalan Sultan Ismail di sini, awal pagi semalam.SABAH DAILY
Gambar: DUA peragut yang ditahan selepas cuba meragut beg seorang wanita di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, awal pagi semalam.
Mereka yang ditahan empat anggota polis ketika melakukan rondaan cegah lumba haram pada jam 4 pagi, turut mengaku melakukan empat jenayah ragut di sekitar ibu negara sejak sebulan lalu untuk mencari wang belanja harian.
Kedua-dua suspek, seorang bekas penuntut sebuah kolej swasta di Bangi dan seorang lagi pekerja stor syarikat utiliti air ditangkap ketika cuba meragut beg mangsa di hadapan sebuah pusat hiburan.
Bagaimanapun, tindakannya menggenggam kuat beg tangannya berjaya menggagalkan cubaan ragut itu, namun mangsa cedera selepas diseret tiga meter.
Pada ketika sama, sepasukan empat anggota polis dari Unit Khas Polis Trafik Kuala Lumpur yang kebetulan sedang menjalankan tugas meronda di kawasan berkenaan menyaksikan kejadian itu bertindak mengejar kedua-dua lelaki terbabit.
Menyedari mereka dikejar, kedua-dua suspek berusia 20 dan 23 tahun itu bertindak memecut motosikal yang dinaiki mereka ke arah Jalan Kuching sebelum ditahan di Jalan Kinabalu, empat kilometer dari tempat kejadian dan dibawa ke Balai Polis Trafik Jalan Bandar untuk siasatan lanjut.
Hasil siasatan mendapati motosikal Yamaha 125-Z yang dibaiki suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Kami jarang dapat wang tunai, kadang-kadang kami hanya dapat melarikan telefon bimbit yang kemudian dijual untuk dapatkan wang belanja,” katanya kepada pegawai penyiasat.
Kedua-dua mereka kemudian diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan tanpa senjata. -bh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan