Jumaat, 7 Oktober 2011

Dr Mahathir boleh dikenakan tindakan hina Dun

M Faqih


KOTA BHARU: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad boleh dikenakan tindakan menghina Dewan Undangan Negeri (Dun) kerana menghalang Kelantan melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II).

Pakar undang-undang perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari berhujah surat Perdana Menteri kepada Menteri Besar Kelantan pada 1994 dianggap sebagai suatu penghinaan terhadap Dewan Undangan Negeri (Dun).

Menurutnya anggota Dun di kalangan penyokong kerajaan boleh mengusulkan dalam dewan untuk diambil tindakan terhadap Perdana Menteri.

“Tak kan pula surat yang pernah dihantar Perdana Menteri menghalang hudud dilaksanakan di Kelantan ada tarikh luputnya.

”Perdana Menteri boleh dipanggil menghadap Jawatankuasa Terpilih Dewan kerana surat yang dihantar boleh disifatkan sebagai menghina keputusan Dun,” katanya pada wacana pelaksanaan hudud di Kelantan di Kota Darulnaim petang ini.

Turut bertindak sebagai ahli panel pada wacana tersebut dua orang yang terbabit menggubal rang undang-undang hudud iaitu Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Mohamad dan bekas anggota Exco, Datuk Mohamed Daud Iraqi.

Jawatankuasa pengubal rang undang-undang tersebut diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas. Anggota lain termasuk Mufti Kelantan, Datuk Shukri Mohamad, Prof Ahmad Ibrahim dan bekas Pendakwa Syarie, Abu Bakar Abdullah Kutty.

Dr Abdul Aziz yang juga pensyarah kanan UIAM berkata, tindakan sama boleh dikenakan terhadap bekas Ketua Polis Terengganu yang pernah mengeluarkan kenyataan tidak mahu memberi kerjasama kepada kerajaan Terengganu yang juga melulus enakmen hudud ketika di bawah pentadbiran PAS.

“Sepatutnya ada pihak yang membuat usul pada persidangan Dewan kerana tindakan seumpama itu boleh ditakrifkan sebagai menghina Dewan,” katanya.

Sedangkan menurutnya di bawah Akta Polis disebut dengan jelas pasukan itu berperanan melaksanakan tugas sama di bawah undang-undang sivil atau syariah.

Sebelum itu pada hujah awalnya beliau berkata, tidak ada lagi sesuatu pelik di negara ini apabila kerajaan melanggar sesuka hati undang-undang dan perlembagaan.

Contohnya hal ehwal agama adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan bukannya persekutuan.

Namun katanya, kerajaan pusat melanggar peraturan apabila turut menubuh agensi agama sendiri.

Malah kata Dr Abdul Aziz banyak lagi perlanggaran perlembagaan dilakukan kerajaan pusat termasuk menghapus imuniti raja-raja Melayu dan kuasa perkenan yang dimiliki Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Beliau sekali lagi mengulangi pendiriannya tidak perlu kepada pindaan perlembagaan dengan mendapat majoriti dua pertiga bagi melaksana hukum hudud di Kelantan.

Ketua Hakim Syarie pula mencadangkan pelaksanaan hukum hudud dijalankan terlebih dahulu, biar pun ada pihak yang mahu mencabarnya.

“Kita buat dahulu biar orang cabar perundangan itu kemudiannya. Perundangan tersebut mengambil masa agak lama untuk dilaksanakan bagi meredakan pertikaian di kalangan masyarakat,” ujarnya.

Beliau juga memberitahu Jadual 9 Perkara 2 Perlembagaan membenarkan negeri melaksanakan hukum syariat.

Begitu juga Perkara 11 berkaitan kebebasan mengamalkan agama membawa maksud membolehkan perundangan Islam dilaksanakan kerana termasuk dalam perkara membendung jenayah.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, polemik pelaksanaan hudud di Kelantan kini semakin terelai apabila banyak pandangan baru dicetus melalui siri wacana yang diadakan.

“Perbincangan pada hari ini nampaknya memberi nafas baru kepada kerajaan Kelantan ke arah pelaksanaan undang-undang hudud.

”Tidak banyak lagi halangan untuk kita laksanakan kerana selama ini kita memikirkan ada krisis perlembagaan.

”InsyaAllah kita akan bincang dalam persidangan Dewan Undangan Negeri yang terdekat ini,” katanya.

Menurutnya kemungkinan pada 17 Oktober ini kelab penyokong kerajaan (BBC) akan mengemukakan sesuatu usul dalam Dewan berkaitan hudud.

Mengenai dua mahkamah khas syarie yang dicadangkan Ketua Hakim Syarie katanya, ia hanya dari aspek teknikal sahaja.

Tiada ulasan: