Roketkini.com
Belanjawan alternatif Pakatan Rakyat 2012 – Kesejahteraan Untuk Semua – yang dikemukakan baru-baru ini bukan sekadar mencerminkan keinginan PR untuk memerintah Malaysia, sebaliknya ia adalah azam politik yang akan dilaksanakan selepas berjaya mengambil alih pemerintahan negara.
Memang ini adalah azam dan cita-cita. Dasar belanjawan Pakatan Rakyat ini bukanlah semata-mata untuk menyaingi dasar UMNO-Barisan Nasional, sebaliknya ia adalah satu dasar yang menyeluruh dan condong memberi kuasa kepada rakyat terbanyak.
Kuasa atau kecenderungan kepada rakyat merupakan satu keperluan yang pertama sekali perlu diberikan. Dalam hal ini, PR telah berjaya memahami dan melakarkannya secara tuntas.
Kekuatan rakyat dalam konteks kuasa untuk memiliki atau membeli adalah lebih utama dari belanjawan yang menghambat mereka dengan pelbagai cukai, hutang dan tanggungan bil kepada syarikat-syarikat gergasi dan kerajaan.
Maksud ‘kuasa kepada rakyat’ dalam dasar belanjawan PR ini juga memberi makna ‘kuasa memilih’ bagi rakyat.
Dengan pendapatan yang kompetitif, elaun atau imbuhan yang berpatutan, semua golongan rakyat baik lelaki dan wanita, tua dan muda, pekerja atau suri rumah akan mampu menjadikannya sebagai satu dorongan untuk mereka lebih produktif melalui dorongan Belanjawan Pakatan Rakyat.
Suri rumah dan warga emas
Bayangkan, sebagai suri rumah yang saban hari dirinya lusuh dengan rutin yang sama, menerima bantuan sebanyak RM1,000 dan elaun RM700 setahun bagi penjagaan anak berumur 12 tahun ke bawah.
Paling tidak kesannya adalah golongan terbanyak ini akan mula merancang bagaimana cara terbaik untuk menggunakan wang itu. Biasanya suri rumah memang menjadi ‘menteri kewangan’ rumah tangga.
Jangan kita pandang rendah terhadap intelek dan keupayaan golongan suri rumah ini kerana umum juga ketahui bahawa golongan ini bijak menggunakan wang atau aset yang kecil untuk menjaga, mengurus dan mencambah pendapatan isi rumah, malah lebih kreatif dan rajin dengan mengambil upah menjahit kain, baju, langsir dan pelbagai lagi.
Justeru, bantuan sebegini akan mampu meransang keupayaan golongan suri rumah untuk merencana sesuatu demi kebaikan keluarga dan rumah tangga.
Begitu juga dengan warga emas. Bonus RM1,000 di samping bantuan berterusan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (tidak termasuk duit Hari Raya/Krismas/Deepavali dan Tahun Baru Cina), amat bermakna bagi golongan ini.
Walau pun golongan ini dari aspek ekonomi sudah dianggap golongan yang kurang produktif, mereka tetap mempunyai peranan besar dalam konteks pembangunan keluarga dan masyarakat.
Pelajar dan anak muda
Bagaimana pula dengan golongan muda?
Mengikut laporan media, pelajar-pelajar kita secara umumnya mengalami masalah stress (tekanan) yang amat tinggi.
Pelbagai fakta dan laporan termasuk andaian beberapa pihak telah dikemukakan tentang punca para pelajar kita mengalami stress. Barangkali dalam hal ini, wajar persoalan itu kita tujukan kepada dasar pendidikan negara termasuk pendekatan-pendekatan yang telah dan sedang digunakan oleh kementerian terbabit.
Secara konsepnya, warga muda yang mengalami tekanan perasaan atau stress, selain dari faktor dirinya sendiri, ia juga berpunca dari gaya hidup keluarga dan persekitaran semasa.
Kisah yang sering diungkapkan oleh golongan muda (pelajar) ini adalah ‘kebebasan’ baik dari keluarga, sekolah, persekitaran termasuk apa jua kegiatan yang dipaksakan ke atas mereka.
Ruang mereka untuk mendekati dan menguji kebebasan disekat dan dihantui dengan pelbagai momokan. Maka, golongan ini bukan sahaja akan gagal dalam pendidikan malah turut menyebabkan emosi dan intelek mereka beku dan lesu.
Kita tak dapat nak membayangkan dengan usia yang masih muda, masih belum banyak tanggungjawab dan peranan tetapi telah mengalami masalah tekanan perasaan yang kronik.
Maka, fenomena ini harus ditangani dengan berhati-hati dan komprehensif.
Jika kita melihat belanjawan PR dalam membantu golongan muda, RM100 juta akan diperuntukkan kepada program Pilihan Anak Muda, yang melibatkan anak muda Malaysia berumur bawah 30 tahun untuk mengimplimentasikan projek-projek dan program-program pilihan mereka.
Malah RM50 juta akan diperuntukkan kepada sebuah dana khas untuk meningkatkan penglibatan anak muda dalam aktiviti-aktiviti berdasar kreativiti dan mewujudkan lebih banyak ruang riadah dan rekreasi.
Menggalakkan kebebasan dan kreativiti
Jika kita memahami konteks sebenar bantuan ini, ia bukan sekadar jumlah wang yang berjuta-juta. Wang itu jangan menggelapkan mata kita.
Sebaliknya ia menunjukkan satu sifat yang ketara di mana kerajaan memberi golongan ini satu ‘lesen’ untuk mereka memilih, bergerak, beraktiviti, merancang, berkreatif dan memanfaatkan ruang sosial dalam konteks demokrasi yang matang.
Di samping imbuhan bantuan ini, jangan kita lupa bahawa kerajaan PR juga akan memansuhkan Akta Universiti dan Universiti Kolej (AUKU) demi memastikan golongan muda benar-benar aktif dan dapat memainkan peranan dalam masyarakat dengan lebih berkesan.
Anak muda tidak akan belajar dengan cara paksaan. Tetapi daya tarikan mampu menyebabkan golongan ini dapat dipandu dengan lebih fokus dan terarah.
Inilah nilai yang ada dalam belanjawan PR, belanjawan untuk rakyat Malaysia. Ia bukan umpan untuk memancing undi. Ia telah mengambil kira kepentingan hari ini dan masa depan. –
Tiada ulasan:
Catat Ulasan