Ahad, 16 Oktober 2011

Belanjawan 2012 sahkan BN laksana GST selepas PRU

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2012 berjumlah RM232 bilion pada ketika pendapatan negara tidak dapat menampung keupayaan berhutang kerajaan, mengesahkan niat Datuk Seri Najib Razak melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Menurut Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli, Perdana Menteri berniat mengaburi mata rakyat dengan menawarkan gula-gula belanjawan bermula Januari 2012, tetapi akan dicukai kembali melalui GST selepas Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13).


Justeru itu katanya, Biro Politik KEADILAN memutuskan untuk bersama Pakatan Rakyat membawa isu GST sebagai isu utama PRU, bagi memastikan rakyat memahami bahawa “undi kepada BN bermakna undi melaksanakan GST”.

Menurut Rafizi, berdasarkan realiti ekonomi global, sasaran pertumbuhan 5 peratus hingga 6 peratus yang digunapakai kerajaan adalah sukar untuk dicapai.

“Ini akan memberi kesan kepada jumlah pendapatan negara bagi tahun 2012 akibat kutipan cukai dan hasil lain yang berkurangan berikutan pertumbuhan ekonomi 2012 yang lebih perlahan.

“Barisan Nasional perlu meminjam sekurang-kurangnya RM46 bilion untuk membiayai defisit Belanjawan 2012; itu pun jika ekonomi tumbuh pada kadar 5% – 6% bagi tahun 2012,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Pada masa yang sama, katanya, keupayaan kerajaan mengeluarkan terbitan bon dan instrumen hutang baru dalam tahun 2012 pula adalah terbatas.

Ia disebabkan had keberhutangan negara (debt ceiling) yang dihadkan kepada 55 peratus daripada KDNK di bawah Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 dan Akta Pendanaan Kerajaan 1983.

“Hutang negara sudah pun mencecah 53% dari KDNK berdasarkan angka rasmi Bank Negara Malaysia setakat Jun 2011, maka sebarang hutang baru sudah tentu bertentangan dengan undang-undang negara.

“Saya berpendapat Perdana Menteri dan pentadbiran Barisan Nasional cukup arif dengan segala angka ekonomi dan had keberhutangan kerajaan di bawah kedua-dua akta tersebut.

“Saya juga yakin Perdana Menteri telah dinasihatkan bahawa ramalan pertumbuhan 5% – 6% yang digunapakai di dalam Belanjawan 2012 adalah tidak realistik. Ini membawa kepada satu rumusan semata-mata,” ujarnya.

Kata Rafizi, angka unjuran ekonomi terkini juga menunjukkan bahawa ramalan pertumbuhan ekonomi yang digunakan Perdana Menteri dalam Belanjawan 2012 adalah tidak realistik.

“Terbaru adalah unjuran yang dibuat Malaysian Institute of Economics Research (MIER) yang menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2011 kepada 4.6%,” katanya.

Tiada ulasan: