Oleh : MUTALIB M.D
JANGAN percaya perkara tahyul terutama dakwaan penduduk Lahad Datu bahawa setiap kali kejadian pisang berbuah di tengah batang, mereka akan mendapat Wakil Rakyat baru. Tetapi jika sudah berkali-kali berlaku, apakah itu suratan atau kebetulan?
Kejadian terbaru berlaku di Rancangan Silabukan, Peringkat 2, Lahad Datu di rumah Allahyarham bapa saya dan hanya diketahui pagi kelmarin setelah adik saya, Siti Khadijah menghantar MMS gambar pokok pisang berkenaan.
Antara percaya atau tidak, mungkin keganjilan ini adalah petanda bahawa Lahad Datu atau Parlimen Silam akan mendapat Wakil Rakyat baru; bukan sekali, malah berkali-kali kerana sebelum ini ketika pisang berbuah di tengah batang di Kampung Kenangan, muncul Yusof Amat Jamlee menggantikan Askalani Abdul Rahim.
Tidak lama kemudian muncul lagi satu pokok pisang di Tengah Nipah berbuah di tengah batang, Yusof Amat Jamlee digantikan Samsu Baharun Haji Abdul Rahman.
Kemudian pada 2004, muncul pokok pisang berbuah di tengah batang di Kampung Segangan, Lahad Datu diikuti dengan kemunculan Datu Nasrun Datu Mansur menggantikan Samsu Baharun yang bertukar tempat ke Parlimen Silam.
Pada 2008, pokok pisang berbuah di tengah batang tumbuh di Kampung Indahjaya yang diiringi dengan kehadiran muka baru, Salleh Kalbi menggantikan Samsu Baharun Haji Abdul Rahman sebagai Ahli Parlimen Silam.
Apakah kemunculan kali ini akan menyebabkan salah seorang Adun, sama ada Adun Tungku, Ustaz Suhaili Mohd Said atau Adun Lahad Datu, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur atau Ahli Parlimen Silam, Salleh Kalbi akan digantikan dengan muka baru?
Segalanya ketentuan Illahi tetapi bagi ketiga Wakil Rakyat ini agar memperbaiki kesilapan mereka dan berkhidmat dengan jujur dan penuh tanggung jawab kerana sudah ada tanda-tanda Najib akan memilih ‘Winnable-Candidate’ untuk menggantikan salah seorang atau ketiga-tiga mereka serentak.
Kepimpinan UMNO Silam saling tidak tumpah seperti resmi pokok pisang; suka mencantas tunas baru tetapi enggan berundur sekalipun hanya mempunyai tandan buruk dan tidak lagi produktif.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan