Isnin, 3 Oktober 2011

Anak naik angin serang bapa dengan parang

THE MALAYSIAN INSIDER

KULIM — Seorang bapa terpaksa lari menyelamatkan diri daripada diserang anak lelakinya dengan parang di rumah mereka di Kampung Baru Air Merah di sini malam tadi.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku setelah si bapa yang berumur 60 tahun dan merupakan pesara tentera menegur sikap anaknya yang berumur lingkungan 30-an itu yang bertindak liar sebaik pulang ke rumah pada pukul 11 malam.

Mereka dikatakan telah bertengkar diikuti pergaduhan antara kedua-duanya sehingga menyebabkan si anak terjatuh dan luka di kepala, kata Ketua Polis Daerah Kulim, Supt Ghuzlan Salleh.

Beliau berkata menyedari dia mengalami kecederaan, si anak naik berang lalu mengambil parang dan cuba menyerang bapanya yang terpaksa menyelamatkan diri ke luar rumah.

“Atas bantuan jiran-jiran, bapa berkenaan telah menghubungi balai polis bagi mendapatkan bantuan,” katanya dipetik Bernama Online.

Ghuzlan berkata anggota polis yang tiba di tempat kejadian telah berjaya memujuk si anak sebelum dia menyerah diri dan dibawa ke balai polis.

Beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian itu.

Tiada ulasan: