KUALA LUMPUR— Pertubuhan bukan kerajaan Jaringan Rakyat Tertindas (jerit) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) merancang untuk mengadakan piket di lapan bandar secara serentak esok ekoran rasa tidak puas hati berhubung pindaan Akta Kerja 1955.
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) telah mengadakan piket mereka di kawasan Parlimen kelmarin ekoran pendirian Putrajaya mahu meneruskan bacaan kali kedua di Parlimen, yang memulakan sidang semasanya kelmarin.
Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2010 disenaraikan sebagai undang-undang ke-10 dalam aturan mesyuarat semasa untuk dibahaskan.
Kelmarin, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam menegaskan pindaan itu tetap akan dibawa ke Parlimen kali ini selepas tertangguh sejak tahun lalu.
“Seperti yang anda sedia maklum, kerajaan BN yang telah dan sedang menghakis hak demokrasi rakyat Malaysia telah mengalihkan fokusnya untuk mencabul hak pekerja Malaysia pula.
“Kementerian Sumber Manusia akan membentangkan pindaan Akta Kerja 1955 pada sesi Parlimen ini bagi bacaan kedua. Pindaan ini dikatakan sebagai paling buruk dan akan menggadai hak pekerja Malaysia,” kata satu kenyataan bersama Jerit dan PSM dikeluarkan hari ini.
Kenyataan itu menambah, jika pindaan diluluskan, maka para pekerja boleh dibuang kerja dengan senang dan pekerja tidak boleh mendakwa pihak majikan.
Antara peruntukan yang dimaksudkan menganiaya pekerja ialah kontraktor bagi tenaga kerja.
“Malah, bayaran kerja lebih masa juga boleh dilambat-lambatkan oleh pihak majikan.
“Ada juga lain-lain pindaan yang lebih teknikal yang akan menyebabkan hak pekerja akan tergadai kepada majikan,” katanya lagi.
Pada awalnya, Jerit merancang untuk mengadakan protes pada Jumaat ini tetapi telah dipercepatkan sebagai tindakan berpiket serentak esok di lapan lokasi.
Ia akan diadakan berhampiran Dewan MPKJ & Stadium Kajang, Selangor; Zon Perindustrian Senawang, Negeri Sembilan; Simpang Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Tengah, Pulau Pinang; Seksyen 15, Shah Alam, Selangor; Zon Perindustrian Sungai Siput, Perak dan Zon Perindustrian Tasek, juga di Perak; Depan perhentian bas, Tanjung Malim serta Taman Tampoi Indah, Tampoi, Johor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan