Isnin, 17 Oktober 2011

Akta Kerja: Jangan sampai pekerja hilang yakin pada kerajaan, kata Pemuda PAS

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR— Pemuda PAS meminta kerajaan mendengar keluhan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang membantah pindaan Akta Kerja 1955 memandangkan badan induk pekerja itu mempunyai asas kukuh membantah rang undang-undang yang telah dibentang dan diluluskan oleh Dewan Rakyat baru-baru ini.

Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar sayap pemuda itu, Mohd Firdaus Jaafar berkata, kerajaan sepatutnya berbincang dahulu dengan pelbagai peringkat terutama golongan pekerja dan kesatuan sekerja bagi mendapatkan pandangan sebelum membentangkan Rang Undang-Undang Akta Kerja.

“Ini kerana ia melibatkan hak dan kepentingan golongan ini. Jika benar kerajaan prihatin terhadap rakyat, golongan pekerja mestilah antara keutamaan yang perlu diberikan perhatian,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

MTUC sebelum ini menegaskan pihakya menentang Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2011 kerana ia menghapuskan sistem perlindungan, yang secara langsung akan menjadikan sistem ‘hamba’.

Mereka menentang sistem kontraktor tenaga buruh pihak ketiga kerana kesannya akan menjadikan soal kebajikan pekerja tidak dipedulikan.

Kesan jangka panjang pula adalah menjadikan jurang pendapatan semakin meningkat dan tekanan ke atas hak-hak pekerja yang boleh menyebabkan kesan buruk ke atas sistem ekonomi, sosial dan politik di negara ini.

“Dalam hal ini, LPAS mempersoalkan bagaimanakah khidmat nasihat yang diterima oleh kerajaan sehingga rang undang-undang ini menimbulkan kemarahan banyak pihak, khususnya golongan kesatuan sekerja?

“Mungkinkah kerajaan mendapat nasihat yang salah, atau maklumat yang tidak tepat sehingga sanggup menegepikan golongan pekerja,” kata beliau.

Malah kata beliau, perkembangan itu menunjukkan betapa banyak keputusan kerajaan yang dibuat dalam keadaan terburu-buru dan tidak tepat.

“Orang Melayu baru kehilangan Kampung Baru ekoran Rang Undnag-Undang Perbadanan Kampong Baru 2011 yang dibentang dan diluluskan baru-baru ini dalam keadaan yang sangat tergesa-gesa.

“Kerajaan pula sengaja mahu mencari permusuhan berpanjangan dengan MTUC dan kesatuan sekerja yang lain kerana sanggup membentangkan akta ini dan diluluskan pula beberapa jam kemudiannya,” kata beliau lagi.

Walaupun kerajaan memberi ‘gula-gula’ yang banyak dalam Bajet 2012 baru-baru ini, kata beliau, rakyat masih tetap tidak berpuas hati kerana banyak perkara kerajaan telah membelakangkan rakyat.

“Jangan sampai rakyat hilang kepercayaan kepada kerajaan, lalu memprotes pemimpin Umno-BN dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

“Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar juga meminta kerajaan melayan tuntutan MTUC dengan baik dalam piket yang akan mereka anjurkan nanti,” kata beliau sambil menambah, “negara demokrasi seperti Malaysia membenarkan hak berhimpun dan menyatakan suara hati mereka.”

“Justeru Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar meminta jaminan kerajaan agar jangan mengambil tindakan terhadap mereka selama mana piket berlangsung dengan aman,” katanya lagi.

Tiada ulasan: