Khamis, 20 Oktober 2011

Akademi tawar jadi penganjur debat Bajet 2012

Debat itu merupakan perkembangan sihat bagi membolehkan rakyat menilai belanjawan yang dibentangkan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.



PETALING JAYA: Sebuah akademi penulisan dikenali sebagai ‘Akademi Pak Sako’ menawarkan menjadi penganjur bagi debat Belanjawan Negara 2012 antara Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jurucakap Akademi terbabit Hilman Idham berkata, debat itu merupakan perkembangan sihat bagi membolehkan rakyat menilai belanjawan yang dibentangkan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Menurut Hilman, pihaknya akan menghantar undangan kepada Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang Jumaat ini.

“Perdebatan seperti ini akan memberi ruang yang adil kepada rakyat untuk menilai secara rasional dasar-dasar yang digarap demi kepentingan mereka.

“Justeru Akademi Pak Sako bersedia untuk menjadi penganjur kepada Debat Belanjawan Negara 2012; di antara Najib dan Anwar,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ujarnya, jika kedua-dua tokoh itu bersetuju maka debat akan ditetapkan pada hari Khamis, 3 November ini pada jam 9 malam dan bertempat di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya.

“Kami berharap kedua-dua tokoh ini bersedia untuk menerima undangan debat daripada pihak kami. Semoga debat ini berlangsung dengan baik dan berhemah demi manfaat dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Isnin lalu, Anwar mencabar Najib berdebat secara terbuka berhubung soal ekonomi dan Belanjawan 2012 yang dibentang baru-baru ini. Ia berikutan kenyataan Najib mengkritik belanjawan Pakatan Rakyat dengan menyifatkannya gagal memahami kehendak rakyat.

Menurut Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, debat itu juga perlu disiarkan secara langsung melalui televisyen ke seluruh negara.

Tiada ulasan: