Khamis, 13 Oktober 2011

4 hari bahas Bajet tanpa Laporan Audit


KUALA LUMPUR - Wakil Pakatan Rakyat bercadang untuk membawa usul mengenai kegagalan kerajaan menyerahkan Laporan Audit Negara kepada Ahli Parlimen, Isnin ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, sudah empat hari mereka membahaskan belanjawan tanpa merujuk Laporan Audit Negara.

"Kita cadang untuk bawa usul mengenai perkara ini kerana hari ini sudah masuk hari keempat berbahas, tapi laporan masih tiada," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau juga mempersoal ketiadaan laporan tersebut sedangkan sesetengah negeri termasuk Kelantan sudah menerima laporan audit negeri masing-masing.

Katanya, Jawatan Kira-Kira Negara (PAC) bertanggungajawab ke atas perkara itu, tidak seharusnya menunggu ianya dituntut.

"Kalau di luar negara, PAC dipengerusikan wakil pembangkang jadi senang untuk menggesa kerajaan tapi di Malaysia PAC diketuai wakil kerajaan, sebab itu lambat bertindak," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaafar meminta Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid menjelaskan perkara tersebut.

"Kita minta Azmi Khalid jelaskan perkara ini kerana ini sangat memalukan dah masuk hari keempat, masih belum ada laporan audit," katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul pula berkata Jabatan Audit Negara sendiri terkejut apabila beliau memaklumkan ahli Parlimen belum menerima laporan tersebut.

“Pegawai jabatan itu terkejut dan menyatakan Ketua Pengarah sendiri berpuas hati kerana laporan berkenaan kerana ia siap lebih awal (berbanding tahun) lalu dan lengkap.

“Ini yang kita hairan. Di manakah sangkutnya laporan itu? Adakah di Parlimen atau berada di tangan menteri tertentu?” soalnya.- Harakah Daily

Tiada ulasan: