Isnin, 16 Mei 2011

Umno: Komponen BN wajar serah kerusi jika gagal pilih calon

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR— Parti komponen Barisan Nasional (BN) yang bertanding di kawasan majoriti orang Melayu, perlu berlapang dada menyerah kerusi itu untuk ditandingi wakil Umno jika gagal mengenal pasti calon boleh menang di kalangan mereka, pada pilihan raya umum ke-13.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata, pendirian mahukan calon mengikut majoriti kaum di sesuatu kawasan itu semakin jelas ditunjukkan ahli dan pemimpin akar umbi Umno dan pengundi seluruh negara.

Pendirian seperti ini juga pernah diutarakan sebelum ini dan mencetuskan rasa tidak senang di kalangan komponen BN.

Dipetik Berita Harian, kata beliau, pendekatan sama sudah diambil pembangkang pada pilihan raya umum lalu, apabila mereka meraih kemenangan menerusi calon mengikut kaum majoriti pengundi di sesetengah kawasan pilihan raya berbanding BN.

“Jika kita tidak jumpa calon boleh menang di kalangan komponen BN di kawasan majoriti pengundi Melayu, saya mengharapkan supaya pimpinannya berlapang dada serah kerusi itu kepada calon yang boleh menang dari parti lain,” katanya di Johor Baru semalam.

“Apabila Perdana Menteri sebut calon boleh menang sebelum ini, maknanya ia merujuk kepada semua kaum, baik Melayu, Cina atau India. Sebagai contoh, Parlimen Hulu Selangor majoritinya Melayu pada pilihan raya umum 2008, Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan calon Melayu manakala BN letak calon MIC, sebab itu parti menang kerana pengundi kawasan itu sudah lama menunggu calon Melayu menjadi wakil mereka.

“Begitu juga Bandar Tun Razak, PKR menang kerana meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti Melayu berbanding calon MCA yang diletak BN. Ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor, dalam desakan cukup kuat mahukan calon Umno, kita mendapat wakil cukup baik, P Kamalanathan, yang fasih berbahasa Melayu dan diterima ramai, jadi kita ambil beliau sebagai calon boleh menang BN,” kata beliau.

Ahmad (gambar) mengulas cadangan kepemimpinan Umno Kulai supaya calon Umno dipilih mewakili BN pada pilihan raya umum akan datang di semua kawasan majoriti orang Melayu termasuk di Johor.

Sehubungan itu, pada pilihan raya umum akan datang, BN perlu mengutamakan kemenangan ketika bertanding.

Tiada ulasan: