KUALA LUMPUR— Sayap Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempertahankan tindakan membantah upacara sumpah laknat oleh ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah walaupun berlaku kekecohan di Masjid Amru al-As, Bandar Baru Sentul pada Jumaat lalu - yang didakwa dilakukan penyokong parti itu.
Justeru tegas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin, pihaknya tidak akan meminta maaf berhubung kekecohan itu sambil menyifatkan ia bukannya dicetuskan oleh penyokong beliau.
Sebaliknya, kata beliau, kekecohan itu timbul ekoran provokasi penyokong Umno dan Perkasa yang turut berada dalam masjid ketika itu.
“Isu minta maaf ini tidak timbul sebab kekacauan yang berlaku itu adalah kerana propaganda yang dilakukan penyokong kerajaan apabila ada penyokong yang kita syaki daripada Umno dan Perkasa cuba menghalang jemaah daripada keluar daripada masjid.
“Jadi kekecohan yang berlaku disebabkan provokasi yang dilakukan ini dan ia telah menyebabkan ketengangan berlaku, malah mereka juga menggunakan perkataan-perkataan yang tidak sesuai.
“Yang kita syaki kekecohan itu berlaku disebabkan penyokong Umno dan Perkasa, itu yang berlaku... bukan kita yang sebabkan kekecohan itu berlaku,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Jumaat lalu, sebelum Shazryl bersama dua lagi “Datuk T”, bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim tiba di Masjid Amru al-As, kekecohan tercetus ekoran tindakan penyokong Pakatan Rakyat membantah tindakan ketiga-tiga individu itu.
Sejurus selepas solat Jumaat, mereka melaungkan takbir dan mendesak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengambil tindakan qazaf terhadap “Datuk T” sebelum membenarkan sumpah laknat dilakukan.
Selain Shamsul, turut berada dalam masjid itu timbalannya Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan naib ketua Azmizam Zaman Huri.
Ekoran kekecohan di Masjid Amru al-As itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah membuat laporan sejak itu, Tambah Shamsul, beliau menafikan sekeras-kerasnya pihaknya cuba menghalang Shazryl melakukan sumpah laknat tersebut.
“Saya nafikan sekeras-kerasnya kami menghalang Datuk Eskay (Shazryl) lakukan sumpah, isu ini tidak timbul sebab akhirnya Datuk Eskay bersumpah juga, kita tidak halang pun.
“Kita perlukan qazaf bukan sumpah, kita tidak halang Datuk Eskay angkat sumpah,” katanya sambil menambah pihaknya tidak akan dikenakan sebarang tindakan walaupun laporan polis dibuat terhadap mereka.
“Mengenai laporan polis yang dibuat saya rasa tiada tindakan yang akan diambil sebab kita bukan lakukan rusuhan tapi kita hanya nyatakan pendirian kita sahaja,” tambah Shamsul.
Tegas beliau, pihaknya juga mempersoalkan kehadiran Jawi dalam upacara sumpah laknat itu dan mendakwa jabatan agama itu yang mengatur agar ia berjalan dengan lancar.
“Jadi apa yang kita lakukan adalah menuntut Pengarah Jawi (Datuk Che Mat Che Ali) melakukan qazaf bukan membenarkan sumpah dilakukan, bila ia berlaku kita syak Jawi bersekongkol atas majlis angkat sumpah Datuk Eskay ini.
“Apa yang kita lakukan adalah menuntut tindakan qazaf dilakukan terhadap Datuk T ini dan ketika di dalam masjid kita ternampak Pengarah Jawi,” katanya.
Sumpah laknat bagaimanapun berjaya dilafazkan Shazryl kira-kira pukul 4.15 petang dengan ditemani Rahim dan Shuib.
Ketiga-tiga mereka memakai baju kalis peluru, dipercayai bimbang diserang ekoran kekecohan yang berlaku selepas solat Jumaat itu.
Sepanjang proses itu berjalan, polis mengawal ketat keselamatan kerana dikhuatiri bimbang insiden yang tidak diingini.
Bagaimanapun, sebaik sahaja ketiga-tiga individu itu cuba meninggalkan masjid penyokong-penyokong Pakatan Rakyat mula menimbulkan semula kekecohan yang memaksa polis masuk campur bagi menghalang insiden tidak diingini berlaku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan