Isnin, 9 Mei 2011

PRU 13: PAS sedia, tidak bergantung pada angka

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seolah-olah mendorong rakyat untuk terus berteka-teki berdasarkan angka-angka tertentu mengenai tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, Najib dilihat lebih bergantung kepada kesesuaian angka untuk mengadakan PRU daripada meyakinkan rakyat mengenai dasar dan polisi kerajaan.

"Najib tidak mengiyakan akan mengadakan PRU pada 11.11.11 tapi masih berlegar kepada permainan angka seolah-olah dia mendorong orang untuk terus bermain dengan angka.

"Nampaknya Perdana Menteri terdesak nak buat PRU dan lebih banyak bergantung kepada perkiraan angka.

"Maknanya dia tidak ada lagi kepercayaan bahawa dasar dan polisi yang mereka buat itu boleh meyakinkan rakyat tapi hanya bergantung keapda angka dan tarikh sedangkan angka dan tarikh tidak memberi apa-apa makna," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai teka-teki yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak apabila meramalkan PRU ke-13 akan diadakan pada 11 November tahun ini kerana angka 11 amat signifikan dalam hidup beliau.

Najib ketika ditemui pemberita selepas ke udara menerusi sebuah rangkaian radio Jumaat lalu tidak mengiyakan mahupun menefikan ramalan itu, sebaliknya menyifatkan ramalan sedemikian memang menjadi kegemaran dalam arena politik sebelum ini.

Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena turut berkata, Najib perlu menghentikan teka-teki sedemikian yang disifatkannya sebagai tidak sihat.

"Saya pun terkejut Najib mempunyai kepercayan-kepercayaan berkaitan angka. Saya tidak tahu sama ada dia ada kepercayaan sama ada angka itu bawa tuah kepada dia atau tidak.

"Inilah kepercayaan yang ada kepada Najib yang menunjukkan ada sedikit unsur-unsur yang tidak sihat kepada kepercayaan seperti ini," katanya.

Walaubagaimana pun tegas beliau, PAS bersedia pada bila-bila masa untuk menghadapi PRU ke-13 tanpa bergantung kepada ramlan berdasarkan angka.

"PAS bersedia, kita tidak bergantung kepada angka. Apa-apa angka pun kita terima," katanya.

Najib dalam temubual dengan penyampai radio berkenaan menceritakan signifikan angka 11 dalam hidupnya.

Katanya, nombor itu timbul dalam beberapa peristiwa penting dalam hidupnya.

Antaranya ialah Allahyarham ayahandanya, Tun Razak Hussein lahir pada 11 Mac 1922, ibunya Tun Rahah Noah lahir pada 11 Jun 1933, hari lahir anak pertama beliau juga pada 11 haribulan, dan Umno ditubuhkan pada 11 Mei 1946.

Najib menjadi Menteri Besar Pahang yang ke-11 (1982-1986) dan merupakan Orang Kaya Indera Shah Bandar yang ke-11.

Tiada ulasan: