Isnin, 2 Mei 2011

PRU 13 : Dana UMNO atau Dana Rakyat yang Kritikal?

SABAH DAILY

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiY3ekv8v6m0je05OX0_cxgseF5Vu89-X2oomKYzwDfVsVQnNrRMzA2oMjeupBZMa1cVzV6Yp9vWJJa45-wknl5OBtiYwE4-JKvfAI9m-CWbgrw7S7_dxHS6ymJCIRX5AX6kjufhJk8GjAh/s1600/pru+13.jpgDatuk Seri Najib Razak dijangka melewatkan pilihan raya umum ke-13 sehingga akhir tahun ini atau awal 2012 memandangkan partinya masih “bekerja keras” mencari dana membiayai kempen bagi memikat sokongan Bumiputera dan kaum India dalam usaha memperoleh kembali majoriti dua pertiga di Parlimen.

The Malaysian Insider difahamkan perbendaharaan Umno merosot selepas Barisan Nasional (BN) menghabiskan sekitar RM500 juta ketika menghadapi pilihan raya negeri Sarawak, 16 April lalu.

Difahamkan tokoh perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary adalah antara beberapa orang yang menyumbang, dengan ada yang mendakwa ia berkaitan dengan usaha konglomerat miliknya menguasai beberapa projek baru.

“Umno sedang mencari sumbangan (yang mencukupi) untuk (memastikan) kempen pilihan raya yang berkesan. Sehingga itu, tidak akan ada pilihan raya umum,” kata sumber BN kepada The Malaysian Insider.

Katanya, aliran tunai yang terlalu kecil ketika pilihan raya umum 2008, dipercayai menyebabkan pekerja-pekerja ‘bersikap dingin’, menyebabkan BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan empat negeri tambahan dikuasai Pakatan Rakyat (PR).

Dalam temu bual khas dengan The Malaysian Insider yang disiarkan pagi tadi, Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian ultra Melayu makin ketera yang diperlihatkan oleh Umno selain kemunculan video seks yang bertujuan mencemar imej kepimpinan Pakatan Rakyat adalah petanda-petanda jelas pilihan raya umum akan diadakan dalam waktu terdekat.

Ketua Pembangkang itu percaya Perdana Menteri akan memanggil pilihan raya umum ke-13 sebelum Ogos ini.

Bulan Ramadan akan bermula awal Ogos di mana umat Islam akan mula berpuasa selama sebulan dan disusuli dengan sambutan Aidilfitri pada awal September.

Sebulan selepas itu umat Islam akan pergi ke Mekah untuk menunaikan haji. Bermakna ada ruang selama sebulan antara awal Syawal sebelum musim haji bermula.

Pilihan raya umum ke-12 telah diadakan pada 8 Mac 2008 dan mandat semasa akan berakhir April 2013.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin BN berkata, Najib sungguh berhati-hati dalam memanggil pilihan raya dalam waktu terdekat memandangkan beliau mahu memperoleh kembali majoriti dua pertiga di Parlimen, yang kini kelihatan mustahil selepas pilihan raya negeri Sarawak menunjukkan masyarakat Cina masih menjauhi perikatan itu.

Semalam, Najib berkata kaum Cina perlu membuat pilihan sama ada untuk memilih MCA pada pilihan raya umum ke-13 atau kehilangan wakil dalam Kabinet pusat dan negeri.

Sehubungan itu Perdana Menteri berkata masyarakat Cina telah diberikan mesej yang jelas dalam isu tersebut.

“Pengundi kaum Cina telah diberi mesej jelas berhubung perkara itu,” kata beliau.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata beliau melihat MCA mahu memberi satu mesej kepada pengundi keturunan Cina bahawa mereka tidak boleh menyokong pembangkang dan dalam masa yang sama mahu penyertaan kuat dalam kerajaan.

“BN sedang memberi tumpuan ke atas pengundi Bumiputera dan India sekarang. Pengundi Cina akan menjadi bonus selepas kenyataan beliau semalam,” kata seorang lagi sumber BN kepada The Malaysian Insider.

Sumber BN juga berkata, perikatan itu juga tidak mendapat sokongan memberangsangkan daripada tokoh dan ahli perniagaan Cina, yang biasanya memberi sumbangan dana ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi.

“Mereka tidak memberikan (dana) sebagaimana disumbangkan ketika Dr Mahathir memegang kuasa,” katanya lagi.

Katanya, projek yang dikurniakan oleh kerajaan adalah kecil dan pertubuhan bukan kerajaan Melayu Perkasa menekan pentadbiran Najib agar lebih banyak memihak kepada ahli-ahli perniagaan Melayu dan Bumiputera.

Antara ahli perniagaan yang menjadi tumpuan ialah Syed Mokhtar, yang menguasai projek-projek besar MRT yang bakal dibina, Pos Malaysia Berhad dan lanjutan tempoh kontrak Bernas selama 10 tahun lagi.

Bisnes Melayu yang lain termasuklah kumpulan Naza, Westar dan beberapa konglomerat dikaitkan dengan Umno.

Sumber BN juga berkata, Najib juga akan menuggu kerana Bajet 2011, yang diumumkan tahun lalu, tidak begitu mesra 1.2 juta tenaga kerja awam.

Kakitangan peringkat bawahan hanya menerima bayaran khas RM500 sedangkan mereka mengharapkan bonus satu bulan.

“Beliau akan membentangkan bajet (Belanjawan 2012) pilihan raya yang (akan kelihatan) menark bagi kakitangan awam dan orang ramai,” kata sumber lagi.

Pemimpin-pemimpin Umno juga berkata sikap pengundi Cina juga dijangka akan melewatkan keputusan Najib mendapatkan mandat baru.

“Beliau mahukan mandat sendiri tetapi beliau juga mahu memastikan dua pertiga. Sebarang keputusan kurang daripada apa yang ada sekarang adalah satu kegagalan,” kata seorang pemimpin kepada The Malaysian Insider.

Beliau menekankan prestasi BN memperoleh 55 daripada 71 kerusi di Sarawak manakala undi popular yang menurun daripada

62.93 peratus pada 2006 sehingga 55.24 peratus.

“Undi popular juga satu faktor. Kita perlu bekerja keras untuk mendampingi (pengundi) khususnya kaum Cina,” katanya lagi. -TMI

Tiada ulasan: