Jumaat, 6 Mei 2011

PKR Selangor dakwa Najib ‘resah dalam keyakinan’ hadapi Pakatan

THE MALAYSIAN INSIDER



Malam tadi, Najib menggesa Umno Selangor menggunakan apa sahaja ‘senjata’ yang dimiliki mereka bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya akan datang.
KUALA LUMPUR— PKR Selangor mendakwa Datuk Seri Najib Razak menyerlahkan “kebimbangan dalam keyakinannya” apabila menyeru kepimpinan Umno negeri itu “bangun dari tidur” sambil menggunakan apa sahaja sebagai senjata menawan semula kerajaan negeri.

Ketua Penerangan PKR Selangor Shuhaimi Shafiei berkata, ia dengan jelas menunjukkan nada gelisah dan kebimbangan terhadap kecamukan usaha Najib selaku Perdana Menteri meyakinkan rakyat khususnya orang Melayu pada Umno Selangor.

“Beliau dengan jelas menyatakan bahawa Umno Selangor tidak boleh lagi mengharapkan kawasan majoriti Melayu untuk berpihak kepada Umno,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan petang.

Dalam satu ucapan di Shah Alam malam tadi, Najib yang juga Pengerusi Umno Perhubungan Selangor menggesa Umno Selangor melupakan kekalahan pada pilihan raya umum 2008 dan bangkit bagi memastikan Barisan Nasional (BN) dapat merampas kembali negeri itu pada pilihan raya umum ke-13 — yang disifatkannya “sudah hampir tiba.”

Presiden Umno itu berkata, bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya akan datang, warga Umno Selangor perlu menggunakan apa sahaja ‘senjata’ yang dimiliki mereka.

Pilihan raya umum disebut-sebut akan diadakan tahun ini.

Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim meramalkan pilihan raya umum sebelum bulan Ramadan, awal Ogos ini.

Pakatan Rakyat kuasai Selangor tiga tahun lalu.

“Kita tidak harus membiarkan maruah parti terus tercemar dan tercalar dengan terus bersedih kerana kekalahan lepas.

“Kita juga tidak boleh terus terbawa-bawa dengan kesedihan, kehilangan keyakinan kita, sebaliknya kita mesti menyusun semula barisan, kuatkan iltizam dan semangat juang serta bangkit menebus kekalahan dengan semangat juang yang tidak tahu erti kalah,” katanya.

Shuhaimi yang juga Adun Sri Muda berkata, ia secara tersirat membuktikan bahawa sokongan pengundi Melayu kepada Pakatan Rakyat tetap meningkat ke tahap yang selesa di sebalik serangan bertali arus Umno-BN kepada Pakatan Rakyat khasnya ke atas Ketua Umum PKR.

“Sokongan orang Melayu di Satok dan Balingian semasa pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini menunjukkan orang Melayu di Sarawak, juga menolak BN.

“Realiti itu mencemaskan kepimpinan Najib di Selangor. Walaupun Kemas dan agensi-agensi lain dikudakan membantu mendaftar pengundi baru, menukarkan pengundi Sabah ke kawasan DUN sasaran, ia tetap mengusarkan Najib,” kata wakil rakyat ini.

“… wujud cara tidak beretika memindahkan pengundi. Terdapat lebih tujuh pengundi yang tidak tinggal di situ dalam satu rumah. Itulah yang dimaksudkan oleh Najib, lakuan dengan cara apapun asalkan menang,” kata Shuhaimi.

Justeru kata beliau, PKR Selangor berasakan kebimbangan Najib ini juga timbul disebabkan pergolakan dalaman BN Selangor dan usaha gigih berterusan kerajaan negeri Selangor dan pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim yang konsisten menjaga semua kaum dalam agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Tambah Shuhaimi, keresahan Najib juga berpunca dari masalah krisis kepimpinan Umno Selangor yang kian meruncing.

“Perbalahan merebut kuasa dan hasad dengki masih menebal di peringkat Bahagian Umno Selangor dan kurangnya koordinasi antara Umno negeri dan Umno bahagian bersama gerak kerja dengan anggota BN seperti MCA, MIC dan PPP.

“Lewat waktu ini sahaja kalangan anggota BN mencuba untuk berada dalam satu pentas walaupun jelas janggal di kalangan anggotanya - Umno pendokong parti perkauman manakala rakan MCAnya tidak lagi bertaring,” kata beliau sambil menambah, nyata Umno Selangor masih dengan perangai lama yang “gila kuasa” dan menjadi “abang besar” dalam kalangan kesatuan BN hingga timbul ‘rasa dibuli’ oleh MCA dan MIC.

Katanya, seruan dari ‘siren kecemasan’ Najib ini sama sekali tidak melekakan PKR Selangor, bahkan menguatkan azam dan tekad untuk terus merancang siri pemantapan jentera parti yang terlatih, kemas dan sistematik untuk membantu rakyat.

Katanya lagi, PKR Selangor akan terus bersama rakan Pakatan Rakyat lain membantu kerajaan negeri memperkasakan agenda MES fasa terbaru yang mana hasrat membantu rakyat dengan program-program yang dapat meringankan bebanan mereka.

“Datuk Seri Najib boleh terus ‘memujuk hati’ kalangan Umno, namum itu tidak dapat menebus dosa Umno selama 20 tahun kebelakangan yang jelas menebalkan rasa mual rakyat pada Umno.

“Sesungguhnya kezaliman Umno-BN tidak akan dilupakan begitu saja oleh mereka yang merasainya. PKR yakin hati rakyat tidak lagi bersama Najb, Umno dan BN dulu, kini selamanya,” katanya lagi.

Tiada ulasan: