Rabu, 11 Mei 2011

Pencalonan ditutup 15 Mei, sidang media 17 Mei

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: PAS akan mengadakan sidang media khas Selasa 17 Mei ini bagi memaklumkan pencalonan untuk pimpinan tertingginya selepas ia ditutup Ahad 15 Mei ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, beliau bersama dengan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Muktamar PAS 2011, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman akan mengadakan sidang media itu bagi memaklumkan pencalonan itu.

Sidang media itu akan diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut jam 11 pagi.

PAS akan mengadakan pemilihan untuk pimpinan tertingginya dalam Muktamar yang akan diadakan 3 hingga 5 Jun depan di Taman Melewar, Kuala Lumpur.

Sejak Mac lalu, PAS kawasan-kawasan dan dewan-dewan peringkat negeri mengadakan mesyuarat agung mereka di mana setiap kawasan berhak membuat pencalonan untuk jawatankuasa PAS pusat.

Kertas pencalonan yang mereka hantar dimasukkan ke dalam satu kotak khas di Pejabat Agung PAS dan hanya akan dibuka oleh Jawatankuasa Pemilihan PAS 2011 yang dipimpin Ustaz Halim Ahad ini.

Antara jawatan itu adalah pengerusi tetap dan timbalannya, presiden, timbalan presiden, tiga naib-naib presiden, AJK dan juga pemeriksa kira-kira.

Kebanyakan kawasan menyerahkan kepada Jawatankuasa baru yang mereka pilih dalam mesyuarat agung kawasan untuk menetap pencalonan peringkat pusat dari kawasan mereka.

Ini bermakna terserahlah kepada jawatankuasa itu untuk mencalonkan siapakah pucuk pimpinan PAS yang mereka kehendaki.

Menurut peraturan yang ada, setiap calon memerlukan sekurang-kurangnya dua pencalonan untuk layak bertanding.

Dewan Ulamak, Muslimat dan Pemuda PAS akan mengadakan muktamar mereka pada 1 dan 2 Jun ini.

Mesyuarat dewan-dewan di peringkat negeri juga sudah berjalan. Mereka pula berhak membuat pencalonan untuk jawatan ketua, timbalan, naib dan AJK disamping pengerusi tetap, timbalannya serta pemeriksa kira-kira masing-masing di peringkat pusat.

Tarikh terakhir mesyuarat kawasan-kawasan adalah 14 Mei ini iaitu sehari sebelum tarikh tutup pencalonan diterima.

Antara kawasan yang akan mengadakan mesyuarat agung pada tarikh itu adalah PAS Kawasan Selayang dijangka panas ekoran pertandingan sengit untuk jawatan utamanya termasuk Yang Dipertua PAS kasawan.

Tiada ulasan: