Sabtu, 21 Mei 2011

Pemuda bawa usul kenaikan harga barang

Mahu isu ini dibincangkan secara panjang lebar supaya dapat mencari jalan mengapa kenaikan barangan ini berlaku sehingga meresahkan orang ramai.



PETALING JAYA: Pemuda PAS akan membawa usul kenaikan harga barangan keperluan harian untuk dibincangkan dalam muktamar parti Jun depan, kata setiausahnya Khairi Faizi Ahmad Kamil.

Beliau berkata, kenaikan harga barangan yang berlaku sekarang mencengkam rakyat terutama golongan miskin.

“Pemuda mahu isu ini dibincangkan secara panjang lebar supaya dapat mencari jalan mengapa kenaikan barangan ini berlaku sehingga meresahkan orang ramai.

“Kita juga percaya kenaikan harga barangan ini akan terus berlaku terutama selepas subsidi ditarik balik,” katanya.

Isu itu diputuskan oleh mesyuarat Pemuda PAS malam tadi.

Khairi Faizi juga berkata, Pemuda juga mengemukakan usul mendesak empat negeri yang diperintah Pakatan Rakyat supaya tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan pembubaran Parlimen.

Katanya, usul ini dibuka untuk perbahasan semasa muktamar Pemuda PAS di Shah Alam pada 1 dan 2 Jun.

“Kita buka sesiapa sahaja perwakilan dari kawasan Pemuda PAS di seluruh negara untuk mengambil bahagian berbahas dalam usul itu.
“Mereka bebas bercakap, mereka boleh mengutarakan pandangan kerana Pemuda PAS sangat terbuka.

“Ini peluang mereka untuk bercakap mengenai isu kenaikan barangan. Mereka boleh bercakap berdasarkan pengalaman sendiri,” katanya.

Seramai 650 perwakilan Pemuda PAS akan menghadiri muktamar yang akan dirasmikan Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa pada 1 Jun.

Tiada ulasan: