Sabtu, 21 Mei 2011

PAS Makin Dekat Dengan Kerajaan Perpaduan ?

TVS NEWS


SHAH ALAM : Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub menyifatkan kenyataan pengekalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden Pas pada pemilihan kali ini akan mendekatkan PAS dengan kerajaan perpaduan, sebagai pandangan yang tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, pandangan cetek seumpama itu sekadar mahu menimbulkan ketakutan dan keresahan dikalangan ahli PAS dan rakan kompenan Pakatan Rakyat, DAP dan PKR.

Semalam editorial yang diterbitkan agensi berita BERNAMA mengajukan persoalan, adakah pengekalan Hadi sebagai pemimpin tertinggi PAS pada penggal akan datang, akan mendekatkan PAS dengan kerajaan perpaduan ?

“Kenyataan yang berniat jahat dan tidak bertanggungjawab yang saya anggap cuba untuk mewujudkan satu tanggapan buruk terhadap Presiden Pas,” katanya.

BERNAMA dalam editorialnya berhujah rapuh apabila menyatakan Hadi dipilih untuk kekal sebagai presiden berikutan direstui ramai ahli yang menyokongnya untuk bekerjasama dengan UMNO BN menerusi kerajaan perpaduan.

Ia hanya bersandarkan kenyataan Hadi yang diputar belit media arus perdana, kononnya beliau berminat untuk perpaduan itu semasa berucap di Muktamar PAS ke-55 di Stadium Malawati, Shah Alam, pada Jun 2009.

Hadi dipilih menjadi Presiden Pas selepas kematian penyandangnya, Datuk Mohd Fadzil Noor pada tahun 2002.

Salahuddin menambah, kenyataan yang tidak bertanggungjawab ini sengaja dimainkan demi mewujudkan suasana tidak sihat menjelang Muktamar Pas yang bakal berlangsung Jun ini.

“Itu satu agenda mereka mewujudkan suasana tidak sihat, mewujudkan kenyataan yang tidak berasas menjelang muktamar kali ini,” katanya.

Muktamar Pas ke- 57 akan berlangsung pada 3 hingga 5 Jun ini di Taman Melewar Kuala Lumpur.

Sehingga berita ini ditulis, Presiden Pas, Hadi Awang dan Ketua Pemuda, Nasrudin Hassan Tantawi berjaya mengekalkan jawatan masing- masing tanpa sebarang tentangan.

Tiada ulasan: