KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersetuju dengan penilaian bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa parti itu lemah.
Bagaimanapun beliau berkata, kelemahan berkenaan sedang diatasi oleh Umno termasuk menerusi usaha bersepadu oleh presiden parti, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
"Ada perkara-perkara yang disebut oleh Tun Mahathir betul. Memang ada beberapa kelemahan dalam Umno, sebab itu Perdana Menteri dan juga Presiden Umno sekarang berusaha untuk atasi dan perkukuhkan parti," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan Dr Mahathir semalam bahawa Umno kini lemah kerana wujudnya pemimpin yang mengamalkan rasuah serta tidak lagi mempertahankan nasib orang Melayu dan Islam.
Dr Mahathir juga mengingatkan parti berkenaan bahawa Barisan Nasional (BN) akan menghadapi nasib yang sama seperti pilihan raya umum 2008 sekiranya tidak berubah.
Mengulas lanjut Tengku Adnan berkata, Umno dan BN di bawah pentadbiran Najib sedang melalui proses transformasi bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti itu.
"Saya tak nafikan ada kelemahan bukan sahaja dalam Umno tapi juga BN, tapi kita berusaha untuk atasinya.
"Saya harap rakyat dapat lihat apa yang perdana menteri buat, pelbagai langkah diambil seperti beliau sendiri turun ke bawah untuk mendengar masalah rakyat...untuk dapatkan maklum balas," katanya.
Sementara itu ditanya mengenai pandangan Dr Mahathir bahawa pilihan raya umum ke-13 tidak patut diadakan sehinggalah sekurang-kurangnya 2012, Tengku Adnan berkata perkara berkenaan terpulang kepada pertimbangan perdana menteri.
"Itu pandangan mantan perdana menteri, kita terima dengan terbuka. Barangkali Tun Mahathir ada pemikiran (penilaiannya) sendiri," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan