Sabtu, 14 Mei 2011

Nelayan ugut tutup laluan lagi jika tiada pampasan

BERNAMA


Nelayan-nelayan dari lima pangkalan menangkap ikan di Kuala Langat yang menyekat laluan masuk kapal-kapal di Sungai Langat sejak Isnin lalu, bersurai petang semalam dan membuka semula laluan sungai itu.

kuala langat jettyKetua Pangkalan Nelayan Kampung Kelanang Zanizam Ismail yang dihubungi Bernama, berkata para nelayan yang meletakkan 100 bot dan sampan merentangi Sungai Langat sejak Isnin lalu itu bersurai pada pukul 2 petang selepas satu mesyuarat diadakan di Pejabat Daerah Kuala Langat pagi semalam.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Dr Rebecca Sta Maria itu dihadiri wakil-wakil nelayan, Jabatan Laut, Polis Diraja Malaysia, syarikat kilang besi Megasteel Sdn Bhd, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan enam pemilik jeti persendirian di Sungai Langat.

Zanizam berkata kumpulan nelayan dari lima pangkalan iaitu Kampung Kelanang, Bandar, Tongkah, Permatang Pasir dan Pulau Carey bersetuju membuka laluan di sungai itu selepas MITI akan mengaturkan pembayaran pampasan terhadap kerugian yang dialami nelayan kesan aktiviti perkapalan di Sungai Langat dalam tempoh seminggu.

Selain itu, mesyuarat juga bersetuju bahawa dalam tempoh tiga bulan, semua pihak yang terlibat akan bermesyuarat semula bagi mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi oleh para nelayan di kawasan itu, katanya.

Ditanya siapakah yang akan membayar pampasan itu, beliau berkata perkara itu belum lagi diputuskan tetapi akan diaturkan oleh MITI bersama Megasteel dengan enam pemilik jeti yang lain.

kuala langat jettyBagaimanapun, beliau berkata jika mereka tidak dapat pampasan seperti yang ditawarkan, sekatan laluan ke Sungai Langat akan diadakan kembali begitu juga jika selepas tiga bulan tiada jalan penyelesaian ke atas masalah mereka.

Zanizam juga mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar kerana membantu membawa masalah nelayan hingga ke peringkat atasan, termasuk MITI.

NONELebih 400 nelayan dari lima pangkalan itu berbuat demikian kerana mata pencarian mereka terjejas selepas Sungai Langat menjadi laluan pontun yang mengangkut besi buruk ke kilang Megasteel dan juga kapal-kapal kargo yang berlabuh memunggah barang di jeti-jeti persendirian di sepanjang sungai itu.

Mereka mendakwa kini menanggung hutang yang bertambah dengan orang tengah kerana terpaksa kerap menggantikan pukat mereka yang berharga RM1,300 sekeping kerana tersangkut pada besi-besi buruk yang terjatuh ke dalam laut dan juga yang dilanggar oleh kapal-kapal yang lalu-lalang.

Tiada ulasan: