Jumaat, 20 Mei 2011

Nasrudin kekal Ketua Pemuda PAS, tiga dicalon tarik diri


KUALA LUMPUR— Ketua Pemuda PAS pusat Nasrudin Hassan at-Tantawi mengekalkan jawatannya selepas tiga orang yang dicalonkan membuat keputusan tidak mencabar beliau kali ini.

Nasrudin telah memegang jawatan itu sejak 2009 dengan menggantikan Salahuddin Ayub.

Kelmarin beliau mengesahkan akan mempertahankan jawatan itu.

“Ya, saya bersedia untuk mempertahankan jawatan ketua Pemuda PAS, insya-Allah saya akan melaksanakan tugas dan tanggungawab ini dengan baik.

“Atas semangat berlumba-lumba untuk mencari kebaikan saya akan (pertahankan jawatan) dan saya percaya calon-calon lain juga mempunyai potensi serta kelayakan yang baik,” katanya.

The Malaysian Insider difahamkan pucuk pimpinan Pemuda PAS pusat telah mengadakan mesyuarat khas malam tadi antaranya membincangkan pertandingan jawatan utama pada pemilihan awal bulan depan.

“Ya, kita telah mengadakan mesyuarat malam tadi dengan memberikan fokus kepada muktamar dan pemilihan Dewan Pemuda PAS.

“Kita menetapkan agenda Pemuda PAS, usul yang mahu dibentangkan, ucaptama dan isu pemilihan yang mana akan menentukan jawatan-jawatan, tapi bukan semua yang sudah buat keputusan,” kata sumber itu menambah, tiada fokus mengenai soal kompromi saingan.

“Cuma disentuh tentang keperluan saingan secara sihat,” katanya.

Dua hari lalu, Timbalan Ketua Pemuda PAS pusat Azman Shapawi Abd Rani dan Pengarah Pilihan Raya Mohd Firdaus Jaafar memutuskan untuk tidak bertanding jawatan itu.

Azman Shapawi berkata sekiranya Nasrudin mempertahankan jawatan itu, maka beliau hanya akan bertanding kerusi timbalan yang disandang sekarang.

Sementara itu, Mohd Firdaus yang juga Ahli Parlimen Jerai memutuskan bertanding jawatan nombor dua Pemuda PAS.

Terbaru Ketua Penerangan Pemuda PAS pusat Suhaizan Kaiat pula memutuskan untuk tidak bertanding, sebaliknya hanya akan mencuba nasib bertanding jawatan nombor dua sayap pemuda itu dan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat.

“Setelah mempertimbangkan pelbagai jawatan yang ditawarkan oleh ahli-ahli PAS seluruh negara, maka saya membuat keputusan untuk menawarkan diri bertanding secara harmoni dan penuh ukhuwah jawatan timbalan ketua Pemuda PAS pusat dan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat,” kata beliau.

“Saya berdoa kepada Allah, jika amanah ini boleh meninggikan Islam maka saya sanggup memikulnya.

“Sebaliknya jika amanah ini tidak boleh meninggikan Islam maka amanahkanlah kepada pemimpin lain yang lebih layak lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

The Malaysian Insider difahamkan setakat ini hanya Azman Shapawi, Mohd Firdaus dan Suhaizan sudah mengesahkan akan bertanding jawatan timbalan ketua pemuda.

Seramai sembilan orang layak bertanding, bagaimanapun Naib Ketua Pemuda PAS Ahmad Sabki Yusof membuat keputusan untuk tidak bertanding mana-mana jawatan sayap pemuda itu namun akan bertanding ahli jawatankuasa kerja PAS pusat.

“Saya tidak akan tanding jawatan dalam Pemuda PAS, saya mahu beri laluan kepada pemimpin yang lebih muda untuk berada dalam kepimpinan itu,” kata Ahmad Sabki.

Tiada ulasan: