Selasa, 3 Mei 2011

Lagu PAS sertai BN datang lagi

Abd Shukur Harun


Kini terdengar lagi dongeng lama dari pemimpin Umno, kononnya 'marilah PAS bersatu dengan Umno’, kalau tidakpun tinggalkan saja Pakatan Rakyat. Dongeng ini sangat popular, terutama dinyanyikan oleh pemimpin Umno di waktu-waktu tertentu atau di saat menjelang pilihan raya.

Dongeng politik murahan ini bermotifkan supaya Pakatan Rakyat berpecah apabila apabila PAS menarik diri dari Pakatan Rakyat, menjadikan PAS terpencil seorang diri, yang akhirnya, fikir mereka, PAS juga akan berkubur.

Umno tahu, dongengnya ini tidak semudah itu disambut oleh PAS, namun ia berusaha terus meneriakkannya. Oleh itu, para pendukung PAS waspadalah dengan pelawaan ini, justru ia hanya seruan politik untuk menunjukkan betapa Umno, kononnya, sangat inginkan perpaduan orang Melayu. Dengan bergabungnya Umno dan PAS, kononnya bersatulah Melayu dan kuatlah politik Melayu. Ini adalah sebuah kepalsuan.

Tetapi ramai yang belum lupa dan merasa pelik bagaimana Umno konon hendak menyatukan Melayu tetapi dalam masa yang sama rakyat Kelantan, yang majoriti besarnya Melayu, dinafikan haknya untuk mendapat royalti minyak.

Selain itu ada senarai panjang yang telah diketahui umum bagaimana kerajaan pimpinan Umno melakukan pelbagai diskriminasi terhadap Kelantan dan negeri-negeri lain dalam Pakatan Rakyat walaupun kerajaan Pakatan Rakyat dipilih oleh rakyat secara demokrasi dan berusaha berlaku adil kepada semua kaum.

Sudah tidak menjadi rahsia lagi bagaimana kerajaan Umno melakukan ‘penderaan’ terhadap kerajaan Pakatan Rakyat, di mana sebahagian orang Melayu juga berada dalam negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat.

Pemimpin Umno tahu bahawa seruannya supaya PAS bergabung dengan Umno tidak akan disambut oleh PAS. Namun seruannya ini diteruskannya juga sebagai suatu propaganda psaikologi untuk menimbulkan persepsi umum kononnya Umno sebuah parti yang sangat ingin kepada perpaduan Melayu. Dengan itu mereka akan dapat undi Melayu. Perkiraan ini sangat mudah dibaca dan difahami bukan saja oleh pemimpin dan pendukung PAS, tetapi juga oleh ramai orang.

Sudah tiga kali Muktamar PAS – di Perak, Selangor dan Kelantan – memperteguh ikrar PAS untuk terus menerus bersama dengan Pakatan Rakyat, malah bersama-sama memperkukuhkannya. Bulan depan, PAS sekali lagi bermuktamar - kali ini di Taman Melewar – di mana dijangka muktamar tersebut akan memperbaharui ikrar tersebut.

Ikrar ini tentunya mempunyai makna yang sangat besar dan penting. Ia adalah manifestasi kesetiaan PAS bersama rakan-rakan parti dalam Pakatan Rakyat, di mana janji setia ini menunjukkan kematangan PAS berpolitik, bahkan Islam sendiri mengajarkan umatnya supaya patuh kepada janji, memelihara setiakawan.

Perwakilan dalam Muktamar PAS nanti dijangka akan berhujah mempertahankan Pakatan Rakyat dan tidak akan terjebak dengan panggilan perkauman yang sangat merugikan.

Pakatan Rakyat adalah harapan masa depan rakyat Malaysia, bukan Barisan Nasional yang bersifat perkauman dan penuh dengan ketidak tentuan.

Selama memerintah Kelantan, Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan dua tahun di Perak, Pakatan Rakyat telah menunjukkan kemampuan menjaga kepentingan rakyat, kauh lebih baik dari pemerintahan BN sebelumnya.

Pelbagai kemudahan telah diberikan kepada rakyat, tanpa mengira kaum dan agama. Ia telah memancarkan keadilan kepada semua, sementara pentadbirannya telus, terbuka dan penuh demokratik dengan pengurusan ekonominya dipuji oleh pelbagai pihak.

Memang diakui ada terdapat pelbagai kelemahan kecil dalam pemerintahan Pakatan Rakyat selama tiga tahun lebih itu, namun ada tanda yang amat jelas bahawa pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat sedang berusaha memperbaikinya.

Buku Jingga yang melakarkan agenda 100 hari Pakatan Rakyat jika berkuasa sangat mengejutkan pemimpin BN. Ia bukan sebuah angan-angan kosong dan tidak realistik seperti yang dicanangkan oleh golongan tertentu, namun ia sebuah perakuan yang menunjkkan Pakatan Rakyat sangat komited untuk membela rakyat.

Oleh itu Muktamar PAS bulan depan sedang diperhatikan sungguh-sungguh oleh rakyat bagaimana peranan yang akan dilakukan PAS untuk memperkukuh Pakatan Rakyat.

Pada pendapat saya, pendukung PAS tidak akan semudah itu termakan dengan dakwaan pemimpin Umno bahawa kononnya kononnya PAS hanya menjadi alat DAP dalam meneruskan agendanya untuk memerintah Malaysia. Hingga kini tidak ada satu buktipun bahawa DAP telah memnperalatkan PAS. Oleh itu dakwaan pemimpin Umno ini sama sekali tidak berasas.

Menjelang PRU Ke-13, sudah tentu Pakatan Rakyat akan menghadapi lagi pelbagai tekanan dan serangan berat dari pelbagai penjuru oleh pihak musuh untik menghancurkan Pakatan Rakyat.

Dari itu, baik PAS mahupun PKR dan DAP mestilah bersedia seutuhanya untuk menghadapi cabaran ini. Jalan untuk ke Puterajaya tidak semudah itu, namun kuncinya ialah perpaduan Pakatan Rakyat dan bekerja bersungguh-sungguh dengan padu dan berstrategi.

Kemenangan DAP yang besar dalam pilihan raya di Sarawak baru-baru ini – di samping kemenangan beberapa kerusi PKR – adalah isyarat jelas yang ditunjukkan oleh rakyat pelbagai kaum di pulau Borneo itu bahawa mereka mahukan perubahan.
Saya percaya, rakyat di Semenanjung juga mempunyai hasrat yang sama untuk melihat perubahan, justru PRU Ke-13 ini nanti adalah pintu gerbang rakyat melangkah kepada perubahan.

Dari itu, bagi mereka yang berfikiran waras, tidak perlu melayan seruan pihak tertentu supaya PAS atau DAP bergabung dalam Barisan Nasional. Pakatan Rakyat adalah masa depan rakyat Malaysia siapapun pemimpinnya.

Tiada ulasan: