Khamis, 5 Mei 2011

Kursus baru perubatan di semua IPT dibekukan

MALAYSIA KINI

Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan moratorium atau pembekuan ke atas penawaran kursus baharu bidang perubatan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) selama lima tahun sehingga 30 April 2016.

student summits 020808 khaled nordinMenteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, moratorium itu dilaksanakan segera berdasarkan kepada peningkatan ketara bilangan graduan perubatan yang dikeluarkan IPT, kompetensi pegawai perubatan siswazah, tenaga pengajar dan Hospital Pengajar.

Beliau berkata, pelaksanaan moratorium ini tidak sama sekali menjejaskan bilangan pegawai perubatan yang diperlukan negara kerana pengeluaran graduan perubatan dari 33 IPT sedia ada di samping graduan perubatan luar negara yang pulang ke Malaysia adalah memadai.

"Malah ia diyakini mampu menghasilkan jumlah doktor perubatan yang mencukupi menjelang 2020 dengan nisbah seorang pegawai perubatan kepada 400 penduduk (1:400),” katanya.

Beliau ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian antara Institut Pembangunan Profesional-Universiti Terbuka Malaysia (IPD-OUM) dengan Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (PPBM) serta melancarkan program IPD-OUM dan PPBM di Kuala Lumpur hari ini.

IPD-OUM diwakili Naib Presiden Kanan OUM Prof Dr Mansor Fadzil manakala PPBM diwakili presidennya Kwan Foh Kwai.

NONEMohamed Khaled berkata sehingga 31 Jan, terdapat sebanyak 33 IPT membabitkan 11 IPT Awam dan 22 IPT Swasta yang menawarkan kursus pengajian perubatan peringkat sarjana muda.

Katanya walaupun bilangan IPT adalah 33, namun jumlah keseluruhan kursus perubatan adalah sebanyak 47 kursus kerana terdapat IPT yang menawarkan lebih daripada satu program.

"Contohnya, kursus berkembar yang ditawarkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Universiti Padjajaran (Indonesia) pada 2006 dan Allianze University College of Medical Sciences; ACMS (2009)," katanya.

Katanya daripada 33 IPT terbabit, 17 IPT telah diberi pengiktirafan membabitkan lapan IPT Awam dan sembilan IPT Swasta.

Tiada ulasan: