Sabtu, 14 Mei 2011

Kuil Berusia 20 Tahun Diarah Kosong Premis

Ditulis oleh ZeanaAima


IPOH 14 MEI : Sebuah kuil di Ipoh diarah mengosongkan premis disamping berdepan dengan dua saman dari Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) atas alasan rumah ibadat itu dibina diatas tapak perumahan.

ADUN Buntong, A. Sivasubramaniam mempertikaikan tindakan MBI itu dan mempersoalkan mengapa setelah 20 tahun kuil Kew Ong Tai Tay, beroperasi barulah arahan pengosongan dan tindakan mahkamah itu ditimbulkan.

Pengurusan kuil tersebut, Persatuan Penganut- Penganut Kew Ong Tai Tay menerima notis untuk mengosongkan kuil berkenaan pada 22 Januari 2010 namun mereka enggan berbuat demikian.

Pada 9 Mei 2011 persatuan menerima notis untuk hadir ke Mahkamah Majistret Ipoh pada 11 Mei 2011 atas dua pertuduhan.

Pertuduhan pertama dibawah seksyen 26(1)(b)Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 iaitu menjalankan pemajuan tanpa kebenaran dan boleh dikenakan hukuman RM500 ribu atau penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala pertuduhan kedua pula di bawah seksyen 27(2)(a) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 tidak mematuhi notis yang dikeluarkan iaitu memberhentikan pemajuan dan boleh dikenakan denda RM 100 ribu atau penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua- duanya sekali.

Sehubungan itu, Siva berkata, pihaknya akan mengatur pertemuan antara wakil persatuan dan Menteri Besar Perak, Datuk Zambry Kadir untuk mencapai kata sepakat.

Subramaniam berkata isu ini menyentuh sensitiviti keagamaan khusunya bagi masyarakat cina di kawasan berkenaan yang telah menggunakan kuil itu sejak sekian lama.

Justeru, beliau berpandangan MBI perlu merujuk perkara ini terlebih dahulu kepada Kerajaan Negeri Perak dan Unit Pentadbiran Hal-Ehwal Bukan Islam sebelum mengambil sebarang tindakan.

Beliau juga mempertikaikan sikap berpeluk tubuh Exco Hal Ehwal Bukan Islam, Datuk Mah Hang Soon.

Mah Hang ketika dihubungi, enggan mengulas lanjut dengan alasan beliau tidak cukup maklumat untuk memberi sebarang komen.

Sebelum itu Pengerusi Persatuan Penganut-penganut Kew Ong Tai Tay, Cheow Hon Choong, 59 membuat laporan polis di balai polis Buntong mengenai isu kuil ini.

Tiada ulasan: