Selasa, 10 Mei 2011

Kesihatan bukan justifikasi kenaikan harga gula

Afiq Hizami, Pelatih UKM


KUALA LUMPUR: Walaupun harga barang dijangkakan turun ekoran kenaikan nilai ringgit namun harga gula dinaikkan yang sudah pasti bakal memberi beban kepada rakyat, terutamanya kepada pejaja warung kecil dan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Anggota Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli (gambar) berkata, kenaikan ini tidak wajar bahkan menolak sama sekali sasarannya untuk menekan agar orang ramai mengurangkan penggunaan gula untuk mengurangkan masalah kesihatan.

"Teori yang mengatakan kenaikkan harga gula boleh mengurangkan masalah kesihatan yang berpunca daripada pengambilan gula yang berlebihan haruslah diterapkan melalui pendidikan dan kefahaman, bukan dengan menaikkan harga gula," jelas beliau yang merupakan bekas pensyarah perubatan bahagian kesihatan awam di Fakuti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau yang juga merupakan Bendahari PAS pusat mengulas mengenai kenaikkan harga gula sebanyak 20 sen menjadi RM 2.30 yang bermula hari ini berbanding dengan harga sebelumnya RM 2.10.

Menurut kerajaan, kenaikan itu sebahagian daripada langkah rasionalisasi, yang akan membolehkan kerajaan menjimatkan RM116.6 juta.

Minggu lalu, harga petrol RON97 mengalami kenaikan 20 sen seliter.

Dalam pada itu laporan Bernama memetik Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Mohd Zain Mohd Dom berkata, langkah untuk merasionalisasikan harga runcit gula itu dibuat selaras dengan keputusan mesyuarat Majlis Ekonomi hari ini.

“Kerajaan telah membuat keputusan untuk merasionalisasikan subsidi dan dalam hal ini, Majlis Ekonomi menetapkan subsidi tanggungan kerajaan untuk gula perlu diturunkan lagi,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memberikan masa sebulan untuk kerajaan mengurangkan harga barangan khasnya yang diimport ekoran kenaikan nilai ringgit berbanding dollar Amerika.

Nilai ringgit naik kepada bawah RM3.00 untuk satu dollar Amerika minggu lalu iaitu kenaikan tertinggi sejak diikat pada kadar RM3.60 untuk satu dollar Amerika sebelum ini.

Bagi Setiausaga Agung DAP itu, jika nilai ringgit naik beerti harga barangan yang dimport akan turun. Ia termasuklah gula dan petrol kerana Malaysia menggunakan petrol yang diimport kerana minyak yang dikeluarkan berkualiti tinggi dan sesuai untuk dieksport.

Namun, harga barangan bukannya turun ekoran kenaikan nilai ringgit bahkan dinaikkan lagi oleh kerajaan.

"Gula menjadi satu keperluan penting dalam kehidupan, ini kerana penggunaan gula adalah menyeluruh dalam masyarakat kita terutamanya dalam bidang makanan dan masakan," kata Dr Hatta.

Tegas beliau lagi, gula tetap akan digunakan dan dibeli oleh rakyat walaupun harga gula dinaikkan, ini akan menyusahkan lagi rakyat.

"Keperluan Penggunaan gula yang penting dalam aspek barangan makanan seperti kuih muih, minuman dan masakan akan memberi kesan kepada kenaikkan harga barangan tersebut, hal ini disebabkan rantaian yang berpunca dengan kenaikkan harga gula," katanya lagi.

Justeru itu, beliau sangat kecewa dengan tindakan kerajaan yang dilihat cuba menambah beban kepada rakyat setelah rakyat negara ini dikejutkan dengan kenaikan 20 sen harga petrol RON 97 yang kini dijual dengan harga baru RM2.90 seliter.

Oleh itu beliau menggesa kepada kerajaan harus menimbang meneruskan strategi jangka panjang untuk merasionalisasikan subsidi yang boleh menimbulkan masalah kewangan yang lebih teruk kepada rakyat.

Tiada ulasan: