KUALA LUMPUR: KEADILAN tekad untuk mengkaji semula jumlah elaun dan tangga gaji para guru sekiranya Pakatan Rakyat memegang tampuk pentadbiran negara selepas Pilihan Raya Umum 13, kata Presidennya, Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Wan Azizah berkata demikian dalam perutusan sempena sambutan hari guru yang jatuh pada 16 Mei, hari ini.
“Justeru, komitmen KEADILAN ini telah kita nyatakan dengan jelas di dalam Buku Jingga yang telah dilancarkan baru-baru ini.
“KEADILAN juga bertekad akan mengkaji semula jumlah elaun dan tangga gaji para guru secara keseluruhan agar setimpal dengan bebanan yang ditanggung,” kata Wan Azizah.
Buku Jingga merupakan dokumen bersama Pakatan Rakyat yang menggariskan agenda dan program dalam masa 100 hari menawan Putrajaya.
Antara lain, Pakatan menjanjikan elaun khas RM500 sebulan untuk semua guru dan pendidik bagi menghargai peranan dan sumbangan mereka dalam sistem pendidikan negara.
Selain mengucapkan selamat hari guru kepada seluruh warga pendidik di Malaysia, Wan Azizah turut mendoakan kesejahteraan atas jasa mereka yang mencurahkan ilmu selama ini.
Menurutnya, guru adalah pembentuk siasah generasi akan datang yang mendidik dan membimbing mereka terutama dari segi nilai moral dan akhlak peribadi yang tinggi.
“Setiap tahun, 16 Mei disambut untuk menghargai pengorbanan dan jasa para guru. Guru adalah pembentuk siasah generasi akan datang yang akan mendidik dan membimbing mereka terutama dari segi nilai moral dan akhlak peribadi yang tinggi.
“Guru diibaratkan bintang-bintang yang bergemerlapan dan sinarannya itu memberikan arah tuju kepada yang memerlukan,” kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan