Sabtu, 25 September 2010

Trend pemimpin Umno bawa projek ke kawasannya, Muhyiddin bawa UIAM ke Pagoh

WarkahDaily

Dah jadi trend, pemimpin Umno akan bawa segala projek ke kampung halamannya sebagai candu pilihanraya terhadap penduduk kawasan mereka agar terus mendapat sokongan dalam pilihanraya umum yang semakin dekat.

Tak kisahlah sesuai ke tidak, asalkan projek boleh bawak balik kampung. Untung-untung, dapat juga dua tiga kerat kroni kat kampung merasa duit projek sebelum tiba pilihanraya.

Dalam laporan media arus perdana semalam, dilaporkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pembinaan kampus baru Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Pagoh, Johor iaitu kawasan parlimen yang diwakilinya. Kampus itu diberitakan akan mula beroperasi pada tahun 2012.

Kalau ikut siap projek seperti yang didakwa, ianya ngam-ngam dengan tempoh pilihanraya umum akan diadakan.

Lepas ni, mana-mana kawasan parlimen yang diwakili menteri, tunggulah apa projek yang bakal penduduk dapat.

Kalau di Terengganu, sejak zaman Wan Mokhtar jadi MB lagi, mereka hanya memberi tumpuan kawasan masing-masing. Nak buat projek apa pun, kena buat kat kawasan MB.

Ketika Wan Mokhtar jadi MB, bandar Cukai lebih besar dari ibu negeri iaitu Kuala Terengganu. Pusat niaga banyak didirikan di sana.

Kemudian naik pulak orang Besut sebagai MB, Idris Jusoh bawa balik projek-projek besar ke kampung halaman mereka.

Projek mega Taman Ilmu yang sekarang ini hidup segan mati tak mahu yang kekurangan suntikan kewangan juga di bawa ke Besut. Termasuklah kompleks Sekolah Imtiaz dan kompleks Universiti Darul Iman (UDM), sekarang berubah nama Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiZA). Sehingga sekarang belum diketahui lagi apakah status projek yang menelan belanja berjuta-juta ringgit itu hangus begitu sahaja sebelum dapat disiapkan.

Dikatakan juga projek lebuhraya LPT (II) terpaksa dilambatkan pembinaannya kerana MB dari Besut itu mahu merubah unjuran laluan LPT (II) yang asal sehingga terpaksa dipanjangkan laluan lebuhraya berkenaan yang menyebabkan masa perjalanan pun menjadi bertambah lama. Ianya gara-gara mahu melencong projek itu ke kawasannya.

Sekarang MB dari Kijal, Kemaman pula yang naik. Trend itu terus menjadi ikutan.

MB sekarang, Datuk Seri Ahmad Said pun juga mahu membawa projek mega ke kampung halamannya walaupun tidak sesuai ianya dibina di sana.

Ahmad Said telah pun meluluskan pembinaan bandar baru Kijal di kawasan yang tiada penduduk. Namun bandar itu dibina dengan pusat niaga yang banyak termasuk meluluskan pembinaan Pasaraya Giant di kawasan yang di kelilingan paya itu. Jika mengharapkan penduduk Kijal yang rata-rata miskin dan ramai sebagai nelayan semata-mata, bahkan kepadatan penduduk yang lebih kurang 20,000 orang sahaja, maka pembinaan itu akan dilihat sebagai gajah putih selepas ini. Namun ianya bukan diambil hal oleh orang Umno asalkan ada pembangunan walaupun di hutan.

Chalet yang dulunya dikenali Strawberry Park di Kijal pun dijadikan Pusat Jantung Terengganu. Padahal ikut kesesuaiannya yang berada di tepi laut dan keadaan jalan untuk menuju ke pusat itu begitu sukar dan dipersoalkan, sempat ke orang yang berada dalam keadaan kritikal sakit jantung untuk sampai ke pusat jantung berkenaan. Namun itulah realiti di negeri Umno. Pembangunan yang tidak dapat digambarkan oleh fikiran, seperti kata Idris Jusoh.

Padahal ibu negeri yang sekarang ini sudah diiktiraf Bandaraya pun di abaikan dari segi pembangunannya. Sepatutnya Kuala Terengganu harus diberi tumpuan dulu kerana ianya belum lagi lengkap dan sesuai sebagai bandaraya yang sebenar.

Tiada ulasan: