Selasa, 14 September 2010

Tidak Pertahan Jawatan, Syed Hussin Tumpu Penulisan


Radzi Razak

DAMANSARA - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Syed Hussin Ali mengumumkan tidak mempertahankan jawatan pada pemilihan parti bagi memberi laluan kepada pemimpin muda.

Bercakap kepada sidang media hari ini, Senator Dewan Negara itu mahu meluangkan lebih masa dan memberi tumpuan kepada bidang penulisan, namun, tetap berjuang bersama parti kerana perjuangan sudah menjadi darah dagingnya.

"Saya ingin melihat orang lebih muda dan aktif menggantikan saya. Saya juga ingin menumpukan lebih banyak masa kepada menulis. Selain isteri anak dan cucu, ini adalah cinta utama saya," kata beliau.

Syed Husin juga menafikan menerima tekanan atau diminta melakukan sidang media serta tidak mendedahkan mengenai apa tawaran jawatan berbentuk penasihat dalam parti komponen Pakatan Rakyat itu.

"Saya sudah berbincang dengan pimpinan parti dan rakan-rakan sebelum mengambil keputusan ini," katanya tanpa menyatakan sokongan kepada mana-mana calon penggantinya.

Beliau berharap penggantinya komited kepada asas perjuangan parti, menghormati displin organisasi parti, sudah teruji merentas duri dan ranjau perjuangan, bergerak secara berpasukan, menentang amalan korupsi dalam segala bentuk dan mendukung nilai akhlak yang tinggi.

"Terserah kepada ahli parti bagi menentukan siapakah yang mereka mahu menjadi pemimpin. Cara pemilihan dengan setiap ahli satu undi adalah cara yang demokratik," katanya sebelum menyatakan PKR satu-satunya parti politik di dunia yang mengamalkan cara ini.

Syed Husin berusia 74 tahun dan sudah berrgelumang dalam dunia politik menyertai Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada 1958, malah menjadi presiden sebelum bergabung dengan Parti Keadilan Nasional pada 2003.

Beliau juga pernah merengkok dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan segala keperitan sepanjang penahanan itu terpapar melalui buku berjudul 'Dua Wajah'.

Tiada ulasan: