Khamis, 2 September 2010

Siswa berpolitik: Pemuda PAS temui Saifuddin hari ini

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR: Pertemuan antara Dewan Pemuda PAS Pusat dengan Datuk Saifuddin Abdullah bagi membincangkan isu penglibatan mahasiswa dalam politik berlangsung hari ini.

Pertemuan tersebut akan berlangsung jam 10.30 pagi ini di pejabat Timbalan Menteri Pengajian Tinggi itu di Putrajaya selepas ditangguhkan 23 Ogos lalu.

Deligasi Pemuda PAS diketuai ketuanya, Nasrudin Hassan bersama Setiausaha Khairul Faizi, Ketua Penerangan, Suhaizan Kayat dan Bendahari, Adram Musa.

Saifuddin sebelum ini menyatakan kesediaan untuk menemui sesiapa sahaja termasuk Pemuda PAS bagi membincangkan idea membenarkan penglibatan mahasiswa dalam politik.

Pertemuan tersebut awalnya dicadangkan pada 23 Ogos namun ditangguhkan oleh Saifuddin pada satu tarikh yang akan diberitahu kemudian.

Beliau yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno kelmarin bagaimanapun telah memaklumkan tarikh hari ini untuk bertemu Pemuda PAS.

Dalam pertemuan hari ini juga, Pemuda PAS akan menyerahkan memorandum, hasil kajian pihaknya, yang menyenaraikan kewajaran membenarkan mahasiswa IPTA aktif berpolitik.

Kabinet sebelum ini juga telah menolak idea Saifuddin tersebut yang mahu kerajaan membenarkan mahasiswa menyertai politik secara aktif.

Biarpun ditolak, Saifuddin tetap optimis memandangkan turut mendapat sokongan bukan sahaja dari beberapa rakan Umno BN yang lain, malah Perdana Menteri sendiri yang dilihat terbuka dengan isu tersebut.

Selain Pemuda PAS, PKR juga mahu melamar Saifuddin mengetuai kaukus khas di Parlimen berhubung isu tersebut.

Tiada ulasan: