Jumaat, 24 September 2010

Pemilihan PKR: Kedudukan ADUN, MP jadi tumpuan

Abdul Rahim Sabri

Kedudukan beberapa ADUN dan ahli parlimen PKR di negeri-negeri Pakatan Rakyat dijangka menjadi tumpuan dengan sama ada mereka mampu mempertahankan sokongan dalam pemilihan PKR di lebih 80 lagi cabang sepanjang hujung minggu ini.

Daripada 82 cabang yang akan bermesyuarat mulai hari ini, sembilan cabang di Kedah dan Kelantan - dijadualkan bermesyuarat hari ini..

Lima cabang PKR di Kedah - kecuali Sik - menyaksikan pertandingan bagi semua jawatan, iaitu ketua cabang, timbalan, naib dan jawatankuasa.

Ia bertambah menarik apabila ahli parlimen PKR Sungai Petani Datuk Johari Abdul akan menghadapi tentangan sengit daripada seorang anggota cabang P Jayakumar.

Pertembungan menarik turut dijangka di Merbok yang mana ketuanya Abdul Rashid Din yang juga ahli parlimen di kawasan itu ditentang oleh ahli majlis pimpinan pusat Saiful Izham Ramli.

Bagaimanapun, menurut pengerusi PKR Kedah Ahmad Kassim, tiada sebarang pertandingan hari ini di kawasan itu kerana Abdul Rashid menarik diri dan memberikan laluan kepada pesaingnya.

Manakala di Kelantan pula, daripada empat cabang lagi yang akan bermesyuarat hari ini, pertandingan di Kuala Krai dijangka menjadi tumpuan berikutan ADUN Guchil Tuan Zamri Ariff Tuan Zakaria bertanding tiga penjuru.

Beliau akan dicabar dua anggota cabang Mohd Ariffin Ali dan Mohd Roslan Puteh untuk jawatan ketua cabang.

Tiada lagi cabang yang dijadual mengadakan mesyuarat pada Sabtu dan Ahad bagi kedua-dua negeri itu.

Sepanjang tiga hari, mulai hari ini, sebanyak 82 cabang akan mengadakan mesyuarat agung tahunannya di seluruh Malaysia. Minggu lalu, 80 cabang telah bermesyuarat.

Selain negeri-negeri Pakatan, pertembungan menarik juga dijangka berlaku di cabang-cabang di negeri lain membabitkan tokoh-tokoh PKR seperti Naib Presiden Mustafa Kamil Ayub (Pasir Salak), Naib Presiden Lee Boon Chye (Gopeng), ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad dan Timbalan Pengerusi PKR Selangor Syed Shahir Syed Mohamud (Seri Setia).

Pemimpin lain yang turut menjadi perhatian, Naib Presiden Sivarasa Rasiah (Subang Jaya), Naib Presiden Azmin Ali (Gombak), Penyelaras Pakatan Datuk Zaid Ibrahim (Wangsa Maju), timbalan speaker Selangor Haniza Talha (Petaling Jaya Selatan), Elizabeth Wong (Petaling Jaya Utara), ahli parlimen Telok Kemang Datuk Kamarul Baharin Abbas (Telok Kemang).

Tiada ulasan: