Isnin, 27 September 2010

MB Rasmi Pecah Tanah Tadika Rakyat

Oleh: Naeem Raffi

PETALING JAYA- Selaras dengan dasar ‘Merakyatkan Ekonomi Selangor’ (MES) kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim merasmikan pecah tanah bagi tapak ‘Tadika Rakyat’ di Jalan PJS bagi penduduk Desa Mentari, Desa Ria dan Kampung Lindungan, semalam.

Kira-kira 100 penduduk hadir ketika majlis berlangsung walaupun dalam keadaan hujan lebat.

Khalid dalam ucapannya memberitahu Kerajaan Pakatan Rakyat sudah pun berjaya membina 20 kelas ‘Tadika Rakyat’ diseluruh Selangor sejak memerintah pada 2008.

Tambahnya lagi, hari ini satu lagi sejarah tercipta apabila kerajaan negeri bersetuju membina lapan buah lagi ‘Tadika Rakyat’ kerana dikawasan ini kekurangan kemudahan awam selain penduduknya diparas kemiskinan bandar.

“Sejumlah RM 62,5000 diperuntukkan bagi membina lapan buah ‘Tadika Rakyat’ iaitu empat buah kelas aliran bahasa Melayu dan empat buah kelas aliran bahasa Inggeris yang mana mampu memuatkan seramai 160 pelajar dalam satu masa di atas tanah seluas 0.8 ekar,” katanya.

Khalid turut memberitahu seorang pengerusi Jawatankuasa Kutipan Dana diperlukan untuk mencari dana tambahan dalam pembangunan projek tersebut.

“Projek ini memerlukan RM150,000 untuk menyediakan kelengkapan dan peralatan lain jadi saya mencadangkan YB Nik Nazmi sebagai pengerusi Jawatankuasa untuk melaksanakannya.

“Kita juga akan buka tender kepada mana-mana pihak korporat, pertubuhan bukan kerajaan(NGO) yang berminat dalam pembinaan dan pengurusan pentadbiran pendidikan kelak,” jelasnya.

Sementara itu, pada majlis yang sama Khalid memberitahu kerajaan negeri akan menyelesaikan isu Sekolah Tamil dan Sekolah Kebangsaan yang sekian lama tertangguh di kawasan sekitar.

Hal ini akan dibawa kepada Kerajaan Persekutuan untuk tindakan segera bagi kebaikan bersama. Sekolah yang terbengkalai di atas tanah seluas 3.5 ekar itu juga akan dipastikan siap dalam tempoh lima bulan.

“Kerajaan negeri juga akan memastikan tapak sekolah Tamil itu akan digazetkan untuk masa depan anak bangsa dalam memastikan semua rakyat berhak mendapat pendidikan,” katanya.

Turut hadir Exco Kerajaan Negeri Xavier Jayakumar, Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo-Burne Low, Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Dun Seri Setia, Syed Shahir Syed Mohamud dan Pegawai Daerah Petaling, Zulkefli Ahmad.


Tiada ulasan: