Sabtu, 25 September 2010

Kerajaan Selangor Akan Bincang Aktiviti NKEA Dengan JPM

SELANGOR KINI

SHAH ALAM- Kerajaan Selangor akan mengadakan perbincangan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala bagi membincangkan Aktiviti Ekonomi Utama Nasional (NKEA) yang melibatkan pembangunan The Greater KL dan Pembangunan Sungai Klang.

Tan Sri Khalid berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), di sini, semalam.

Menurut Tan Sri Khalid, Kerajaan Selangor telah melakukan usaha yang sewajarnya sepanjang tahun lalu untuk membangun dan membersihkan Sungai Klang menerusi Projek Pembersihan dan Pembangunan Sungai Klang di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor yang melibatkan pelaburan bernilai RM50 bilion.

“Kami merasakan sewajarnya rancangan untuk menjadikan Sungai Klang sebagai Sungai Kehidupan yang diusahakan Kerajaan Selangor ini turut dimasukkan dalam NKEA,” ujar Khalid
.

Beliau akan menulis surat kepada Datuk Idris Jala untuk mengatur pertemuan bagi membincangkan perkara ini dalam tempoh terdekat.

Perbincangan ini juga akan menyentuh mengenai The Greater KL yang melibatkan sebahagian besar kawasan perbandaran di Selangor seperti Petaling Jaya, Subang Jaya, Ampang Jaya dan Shah Alam.

“Kita akan membincangkan bagaimana Kerajaan Selangor boleh bekerjasama dengan Kerajaan Pusat untuk menjayakan rancangan pembangunan ini supaya memberi hasil positif kepada rakyat.”

“Kerajaan Selangor juga mempunyai beberapa rancangan pembangunan lain yang mungkin boleh disatukan dengan Kerajaan Pusat,” katanya.

Tiada ulasan: