Sabtu, 11 September 2010

JAIPs terus pantau anggota Jamiah Al-Zikri Awwalun

Oleh Adha Ghazali

KANGAR: Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) akan terus memantau pergerakan semua sembilan anggota jemaah Jamiah Al-Zikri Awwalun yang ditahan kerana meraikan Aidilfitri lebih awal di sebuah surau di Seriab dekat sini, pagi kelmarin.

Pengarahnya, Malik Hussin, berkata selain memantau mereka, siasatan juga dilakukan untuk mengenal pasti tahap operasi Jamiah Al-Zikri Awwalun, yang dikhuatiri turut mempunyai jaringan di negeri lain.

Buat masa sekarang, katanya, maklumat diterima mendedahkan jemaah terbabit yang dikatakan berasal dari Dumai, Indonesia mula beroperasi di negara ini termasuk di Perlis sejak 1993.

"Mengambil kira faktor itu, kita khuatir ada saki-baki jemaah terbabit yang masih beroperasi terutama secara sulit dalam kumpulan yang kecil seperti diketuai Che Shuit di Perlis.

"Justeru, JAIPS akan mengambil pendekatan berhemah untuk mendekati mereka bagi memastikan tahap operasi mereka di Perlis, sebelum langkah sewajarnya diambil untuk mengekang penularannya," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelmarin, sembilan anggota Jamiah Al-Zikri Awwalun ditahan sepasukan penguat kuasa JAIPS selepas dikesan menyambut Aidilfitri lebih awal, dengan menunaikan solat sunat serta khutbah raya di Surau Al-Zakirin yang dibuka mereka di kawasan lot kedai di Taman Pertiwi Indah di sini.

Semua sembilan anggota jemaah terbabit, termasuk dua wanita berusia 19 hingga 54 tahun kemudian dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah mengikut Seksyen 28 Enakmen Jenayah Dalam Syarak 1991 kerana melanggar titah perintah Raja Pemerintah.

Lapan daripada mereka termasuk dua anak lelaki dan isteri Che Shuit kemudian dikenakan denda RM900 atau tiga bulan penjara, manakala Che Shuit sendiri dihukum denda RM1,000 atau empat bulan penjara.

Mengenai operasi surau milik jemaah itu, Malik berkata JAIPS akan menilai terlebih dulu kedudukannya, bagaimanapun tidak menolak kemungkinan untuk menasihati mereka menghentikan operasi premis terbabit buat sementara waktu.

"Buat masa sekarang, tindakan pemantauan akan dijalankan dari semasa ke semasa sebagai langkah memastikan semua sembilan anggota jemaah terbabit dapat dibimbing ke jalan yang benar.

Tiada ulasan: