Jumaat, 24 September 2010

Gerakan Reformasi lancar kempen ubah imej pemuda PKR


AMPANG — Pesaing jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Rafizi Ramli memulakan jelajah kempennya malam tadi di sini — kira-kira seminggu selepas layak bertanding jawatan itu — dengan menggesa ahli-ahli PKR agar menangani isu-isu yang dekat dengan pengundi muda.

Golongan muda akan merangkumi hampir separuh daripada pengundi dalam pilihan raya umum akan datang.

Ketua eksekutif pejabat penasihat ekonomi Selangor ini yang mengetuai barisan calon Gerakan Reformasi menekankan dalam mesej kempennya bahawa rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) hanya boleh menang di peringkat persekutuan jika memperoleh sokongan 4.6 juta pengundi muda.

“Bagaimana kita boleh sampai di Putrajaya jika kita tidak bercakap dalam bahasa mereka, jika kita tidak memperjuangkan isu-isu yang dekat dengan mereka,” kata Rafizi pada majlis yang dihadiri sekitar 50 ahli PKR malam tadi.

“Selain isu-isu tradisional, jangan lupakan isu mereka, yang kemungkinan tidak menawan dari sudut politik (tetapi ia penting),” katanya.

Beliau menekankan isu pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pemilikan rumah, yang menjejaskan kehidupan sebahagian besar golongan muda.

Rafizi juga berkata peranan golongan muda PKR tidak terhad kepada pengedaran risalah atau menyusun kerusi pada majlis-majlis anjuran parti.

Beliau merujuk kepada kempen notis saman ekor yang dibawa PAS adalah salah satu contoh isu yang berkaitan dengan sebahagian besar pengundi.

Rafizi juga akan mengunjungi kebanyakan negeri untuk menemui menerusi program jelajah negara ini termasuk di Sabah dan Sarawak.

Dalam persaingan kali ini beliau digandingkan dengan calon timbalan ketua AMK Amirudin Shari yang juga ADUN Batu Caves manakala ADUN Pantai Jerejak Sim Tze Tzin dan ADUN Hutan Melintang S Kesavan bagi kerusi naib ketua.

Pada Ahad ini, Generasi Reformasi akan mengadakan program Roadshow Generasi Reformasi (RGF) di Ipoh pada 26 September dan Kuantan (28 September).

Kemudia ia akan menyusur ke Shah Alam (29 September), Bandar Hilir (1 Oktober), Kota Kinabalu I (2 Oktober) dan keesokannya akan ke Kota Kinabalu II.

Sementara pada 5 Oktober mereka akan berhimpun di Subang, dan seterusnya di Negeri Sembilan (6 Oktober), Kuala Lumpur (13 Oktober) dan Johor (14 Oktober).

Selain itu, dua sesi pertemuan akan bermula pada 16 hingga 17 Oktober di Sarawak dan menyusur semula ke negeri Selangor pada 18 Oktober.

Pertemuan di peringkat akar umbi ini kemudiannya diadakan di Perak pada 19 Oktober dan pada 20 Oktober RGF akan berada di Kuala Lumpur semula.

Lain-lain tarikh pertemuan ialah pada 22 Oktober di Kedah, Pulau Pinang (23 Oktober), Terengganu (29 Oktober) dan Kelantan (30 Oktober).

Tiada ulasan: