Jumaat, 24 September 2010

Apa yang benar tentang Program Transformasi Ekonomi?


n35787761072_6369 Bahagian Pertama

Oleh Lim Kit Siang

Program Transformasi Ekonomi (ETP), pengumuman terbaru oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala, ialah ekoran dari beberapa pengumuman yang menjadi mercu tanda pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Seperti pengumuman lalu "Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan", Rancangan Malaysia Kesepuluh maka ETP ini penuh dengan retorik.

Pengumuman yang berbentuk slogan dan berputar ini, biasa terjadi dalam langkah-langkah yang diambil oleh pihak kerajaan. Ini dengan jelas menunjukkan kerajaan seolah-olah tenggelam punca bagaimana hendak menanggani cabaran-cabaran yang dihadapi.

Cabaran dan program yang terhimpun sepanjang tiga dekad yang lampau yang bersifat membazir berikutan salah pengurusan, rasuah dan salah guna kuasa hanya menguntungkan segelintir golongan sahaja.

Ciri yang biasa terdapat dalam pengumuman-pengumuman ini ialah ia mengandungi andaian-andaian yang tidak realistik tentang prospek pertumbuhan ekonomi.

Mereka menggunakan pendapat dari buku-buku teks bercorak perniagaan yang diubah suai bagi mewujudkan pandangan yang salah mengenai dasar-dasar yang digubal semula.

Beberapa pengumuman tentang "dasar-dasar" dan "strategi-strategi" digunakan secara bebas di sebalik akronim KPI, NKRA, MKRA, NKEA, EPP dan Operasi BIZ.

Sejak akhir-akhir ini, kerajaan gemar menggunakan alphabet yang berbagai corak dan bunyi dalam pengumuman tentang rancangan mereka.

Ia kelihatan kerajaan telah menggantikan dasar-dasar yang kukuh dengan apa yang kelihatan seperti istilah-istilah dalam dunia korporat.

Kerajaan bukan entiti korporat

Boleh jadi istilah-istilah ini adalah sesuai dalam dunia perniagaan. Kerajaan bukanlah sebuah entiti korporat. Ia bertanggungjawab kepada rakyat dan tidak boleh bergerak atas niat untuk membuat "keuntungan".

Namun konsep yang termaktub dalam ETP adalah di luar jangkauan orang awam. Kita disajikan dengan ucapan-ucapan yang enak dan diadun dengan persembahan komputer yang menarik, penuh dengan grafik yang hanya membuat orang ramai keliru.

Pada setiap acara ketika dasar-dasar ini diumumkan memperlihatkan ketandusan idea dan ketidakmampuan kerajaan untuk menanggani dasar-dasar yang berbentuk teras dan fundamental yang bertanggungjawab menjerumuskan negara dalam perangkap kumpulan berpendapatan sederhana.

Harapan tipis yang ditawarkan pada awal tahun ini bahawa kerajaan akan melaksanakan perubahan di bawah Model Baru Ekonomi telah berkecai akibat serangan bertalu-talu dari Perkasa (Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara) dan para penyokong serta pelindungnya.

Mereka menentang segala usaha untuk memperbetulkan dasar-dasar yang gagal berhubung dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

  • Lim Kit Siang ialah Ahli Parlimen Ipoh Timur dan juga Penasihat DAP

Tiada ulasan: