Isnin, 8 Mac 2010

1,463 ditahan dalam 'Ops Limau' di seluruh negara

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Seramai 1,463 individu berusia antara 25 hingga 55 tahun ditahan dalam 2,057 serbuan di seluruh negara kerana terbabit dalam perjudian haram sepanjang 'Ops Limau' sempena Tahun Baru Cina, baru-baru ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Datuk Hasnan Hassan (kanan), berkata dalam operasi yang bermula 14 Januari dan berakhir 28 Februari lalu, pihaknya merampas sebanyak 5,911 mesin judi berbanding 3,111 dalam tempoh yang sama tahun lalu.

"Jumlah tangkapan menurun sebanyak 6.52 peratus atau seramai 102 orang berbanding 1,565 orang tahun lalu.

"Ini adalah perubahan positif dalam usaha mengekang kegiatan perjudian haram malah jumlah rampasan juga meningkat sebanyak 90 peratus atau sebanyak 2,800 mesin judi," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Katanya, selain judi haram membabitkan komputer yang diubah suai, pihaknya juga berjaya menumpaskan sindiket judi taruhan haram dengan menahan 41 individu selain merampas pelbagai peralatan termasuk dokumen digunakan untuk taruhan.

"Kita juga menahan 247 individu dalam 153 serbuan kerana terbabit dalam judi haram dalam bangunan dan turut merampas pelbagai peralatan termasuk wang tunai hampir RM30,000," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 147 kes membabitkan 220 pesalah dituduh di mahkamah manakala selebihnya masih dalam siasatan untuk dilengkapkan sebelum diserah kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan susulan.

"Polis akan terus mengesan kegiatan haram ini habis-habisan malah kita tidak teragak-agak mengambil tindakan menyita harta benda mereka mengikut Akta Pengubahan Wang Haram 2007.

"Bagi sindiket yang berselindung di sebalik aktiviti haram ini, tindakan mengikut undang-undang pencegahan akan digunakan dalam menghapuskan kegiatan tidak bermoral ini," katanya.

Hasnan berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kegiatan terbabit diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau melalui talian Rakan Cop, 03-2115 9999.

Tiada ulasan: