Sabtu, 2 Januari 2010

Tahun saja baru, perangai masih lama

SRI DIAH


Ucapan Selamat Tahun Baru telah pun bergema di telinga sejak seminggu lalu. Ia menjadi lebih hangat sejak semalam, malam tadi dan sehari dua lagi, atau mungkin sampai minggu depan. Namun apanya yang selamat?

Sebenarnya tahun saja yang selamat, kita masih di takuk itu juga, sama seperti pada tahun 2009. Selamat datang 2010 disambut dengan penuh keghairahan bagi yang optimis. Bagi mereka yang pesimis, kehilangan 2009 dianggap biasa sahaja.

Sedangkan 2009 yang telah pergi tidak akan kembali lagi. Banyak yang tertinggal, yang gagal dikutip sepanjang 2009 – kitalah yang rugi itu! Dengan ekonomi yang meleset, dengan keadaan sosial yang makin teruk dan dengan cara kita menangani kehidupan bagaikan dunia ini kekal selamanya.

Anak-anak muda masih lagi kemaruk dengan dunia mereka. Hiburan dan fantasi telah melekakan mereka hingga terjerumus ke lembah hina. Kejadian tangkapan maksiat semakin menjadi-jadi. Begitu juga dengan pengedaran dadah. Orang kitalah yang habis.

Ini tidak termasuk dengan kecelaruan budaya dan mengetepikan agama. Isu memperlekeh agama semakin berleluasa apabila saling tidak menghormati agama lain. Tidak juga memikirkan kita hidup majmuk, dan fikiran disempitkan dengan fahaman yang songsang.

Fahaman politik semakin bercelaru dan ideologi parti telah tidak langsung menghormati hati budi. Maki hamun, kata nista dan tuduh menuduh telah menjadikan orang politik seperti orang utan. Masyarakat melihat politik kini sebagai sesuatu yang kotor, jijik dan tidak patut dihormati.

Di sebuah negeri yang diperingatkan oleh parti Islam, kadar peratus maksiat terus meningkat saban tahun. Dalam masa satu bulan hampir 30 pasangan, termasuk 15 pasangan muda ditangkap kerana berkhalwat. Lebih memalukan ada antara mereka sedang berbogel ketika diserbu penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam.

Manusia tetaplah dengan fitrahnya. Kita bukan maksum. Jika sesebuah parti itu mengatakan mereka mengamalkan Islam, jalankan Islam itu sepenuhnya. Dari pemerintah hingga rakyat, mestilah mengikut Islam sebenar. Bukanlah Islam kerana politik. Jika memperjuangkan Islam, bimbinglah remaja-remaja mahupun belia soal agama, memantapkan solat dan sebagainya.

Di sebuah negeri yang ditadbir oleh kerajaan pula, bukan sahaja anak muda, malah orang tua jua ditangkap membuat maksiat. Sumbang mahram, perlakuan luar tabie dan aksi-aksi lucah yang dirakam menerusi telefon bimbit menguasai carta.

Pada saat pemimpinnya sibuk dengan kuasa, bercakap pun tentang masa depan yang manis-manis, dalam diam masyarakatnya terus bobrok. Salah guna wang rakyat, membazir, berjoli dan berebut kedudukan seperti dunia ini milik mereka sahaja!

Dosa mengeji, memfitnah juga semakin menjadi-jadi sepanjang 2009, apakah akan disambung lagi untuk 2010? Ianya tidak mustahil jika kita hanya mengucapkan happy new year ataupun selamat tahun baru sahaja sedangkan pengisiannya kosong.

Masya-Allah, cukuplah! Sekarang mari kita mulakan tahun 2010 dengan hati yang bersih. Dengan niat yang murni dan dengan azam baru. Kita mesti berjanji untuk bebas daripada rasuah. Bebas daripada adu domba. Kita jauhi perkara yang dimurkai Allah. Kita mesti hormat orang lain sebagaimana kita mahu orang lain hormati kita.

Sempena tahun baru Hijrah dan tahun baru Masehi yang kita sambut hanya berselang minggu, marilah sama-sama kita tanamkan niat baru untuk menjadi manusia baru. Untuk diri sendiri dan untuk anda semua saya titipkan kata-kata yang amat bermakna ini.

“Ketahuilah, sesungguhnya di dalam jasad itu ada segumpul daging, apabila dia baik maka baiklah seluruh jasad nya, dan apabila dia buruk maka buruklah seluruh jasadnya. Ketahuilah, dia adalah HATI.” (Riwayat Bukhari dan Muslim, dari Nu’man bin Basyir ra).

Semoga perjalanan kita untuk menempuh 2010 ini diberkatiNya.

Tiada ulasan: