Khamis, 7 Januari 2010

Suara Anak Muda lapor polis

UTUSAN ONLINE


IPOH - Sebuah badan bukan kerajaan, Suara Anak Muda Perak hari ini membuat laporan polis terhadap pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin yang didakwa menyiarkan artikel menghasut rakyat Malaysia supaya menghapuskan institusi raja-raja Melayu.

Laporan tersebut dibuat oleh Ketua Umum badan itu, Redzuan Nasir di Balai Polis Sungai Senam di sini kira-kira pukul 2.30 petang ini. Beliau diiringi lebih 40 ahli pertubuhan itu.

Menurut Redzuan, provokasi yang dilakukan oleh Raja Petra itu sangat bahaya kerana ia boleh memecahbelahkan rakyat serta mencetuskan huru-hara dalam negara.

"Kami memberi amaran kepada mereka supaya tidak menjadikan negara ini sebagai kancah peperangan politik dan menghentikan amalan tidak baik ini supaya keamanan tidak terjejas.

"Kami bimbang jika diteruskan, insiden seperti peristiwa 13 Mei 1969 boleh berulang dan rakyat yang akan mendapat susah," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di sini hari ini.

Dalam artikel itu, Raja Petra mendakwa adalah lebih mudah untuk menghapuskan institusi raja-raja Melayu sekiranya ia dilakukan oleh orang Melayu sendiri.

Beliau berkata, sekiranya ia dilakukan oleh orang bukan Melayu ketika orang Melayu belum bersedia, ia hanya akan menyebabkan orang Melayu kembali kepada UMNO.

Katanya, negara perlu berubah terlebih dahulu sebelum orang Melayu berubah dan orang Melayu perlu diberi masa untuk 'membuang' raja-raja mereka.

1 ulasan:

ibnu marzuki al firdaus berkata...

http://warisan-marzuki.blogspot.com/2010/01/jk-bkn-melayu-yg-jthkan-sltn-pun-al.html