Jumaat, 15 Januari 2010

Siasatan pelbagai sudut kes gereja disimbah cat

UTUSAN ONLINE


KOTA TINGGI - Polis akan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap insiden sebuah gereja, St. Elizabeth di sini, disimbah dengan cat merah hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Osman Muhammad Sebot berkata, siasatan meliputi kemungkinan kejadian itu mempunyai kaitan dengan isu penggunaan kalimah Allah oleh akhbar Herald-The Catholic Weekly.

Menurut beliau, kejadian tersebut disedari kira-kira pukul 8 pagi ini oleh seorang ahli jawatankuasa gereja itu, Wang Kuy Leong, 63, yang kemudian membuat laporan polis.

"Pihak polis sedang siasat, sukar untuk menjelaskan kejadian ini berkaitan dengan isu kalimah Allah. Ini kerana di Kota Tinggi sangat harmoni," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, anggota polis yang tiba di lokasi kejadian sebaik sahaja menerima maklumat mendapati sebanyak tujuh bahagian di kawasan gereja itu mempunyai kesan simbahan cat.

Menurutnya, cat itu dipercayai diisi dalam plastik dan dua buah tong yang kemudian ditinggalkan di longkang luar kawasan gereja terbabit.

Osman berkata, perbuatan khianat itu disiasat di bawah Akta 298(a) kerana mendatangkan kerosakan.

"Saya merayu kepada orang ramai supaya membantu polis dalam siasatan ini dengan menyalurkan maklumat ke talian 07-8837222," ujarnya.

Pihaknya akan meningkatkan rondaan di semua rumah ibadat di daerah ini bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

Menurutnya, daerah itu mempunyai enam buah gereja iaitu lima di Bandar Kota Tinggi dan sebuah di Sungai Rengit, Pengerang.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di lokasi kejadian mendapati, cat tersebut mengenai pintu pagar, tapak landskap dan kawasan letak kenderaan di hadapan gereja.

Terdapat tujuh bekas plastik merah dan dua tin cat yang setiap satunya bersaiz lima liter, dipercayai ditinggalkan di lokasi tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Asiah Md. Arif turut meluangkan masa melawat lokasi tersebut.

Tiada ulasan: