Isnin, 18 Januari 2010

Mayat Murid Keempat Ditemui

BERNAMA

PULAU PINANG: Mayat seorang lagi pendayung perahu naga Sekolah Tinggi Chung Ling Air Itam di sini, Brandon Yeoh, 17, ditemui di kawasan berhampiran Pangkalan Raja Tun Uda kira-kira lebih 1 kilometer dari tempat kejadian pada pukul 12 tengah hari tadi.

Jurucakap pasukan mencari dan menyelamat berkata, dengan penemuan mayat Yeoh, dua lagi mangsa masih hilang dan operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan.

Dua lagi pelajar yang masih belum ditemui itu ialah Yong Xiang, 16, dan Cheah Zi Jun, 17.

Yeoh adalah antara 18 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Jenis Cina (C) Chung Ling Air Itam di sini yang menjalani latihan mendayung perahu naga bagi persiapan menyertai Kejohanan Perahu Naga Antarabangsa Pulau Pinang pada pertengahan tahun ini.

Beliau bersama lima rakannya dan seorang guru dilaporkan hilang apabila bot perahu naga yang mereka naiki terbalik akibat dipukul ombak di sini pagi semalam.

Selain Yeoh, setakat ini mangsa mati lemas yang telah ditemui ialah guru mereka Chin Ai Fang, 28 serta dua pelajar yang dikenali sebagai Jason Ch'ng, 17 dan Goh Yi Zhang, 15.

Kejadian itu berlaku di kawasan kira-kira 100 meter dari pantai Lebuh Macallum di sini dan kawasan tersebut sememangnya menjadi tempat pasukan pendayung sekolah berkenaan menjalani latihan mingguan.

Pasukan pendayung perahu naga lelaki sekolah itu terdiri daripada 18 orang iaitu seorang guru, dua jurulatih dan 15 pelajar.

Mereka memulakan latihan pada pukul 8 pagi dan perahu naga mereka dikatakan terbalik akibat dipukul ombak sebelum berlanggar dengan sebuah tongkang pada pukul 8.45 pagi semalam.

Sebanyak 12 pelajar lagi terselamat setelah sempat berenang dan dibantu oleh beberapa bot di kawasan berhampiran.

Tiada ulasan: