Khamis, 21 Januari 2010

Hishamuddin: Segera bawa ke mahkamah

BERNAMA



Polis diminta supaya segera menyiapkan kertas siasatan berhubung kes pembakaran Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati baru-baru ini, bagi membolehkan mereka yang terbabit dibawa ke muka pengadilan.

Pada masa yang sama, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut mengarahkan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar untuk meneruskan siasatan terhadap beberapa kejadian termasuk yang membabitkan rumah-rumah ibadat lain seperti surau dan masjid.

"PDRM akan terus berusaha mengenal pasti pihak-pihak yang terlibat dalam kejadian tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, lapan orang termasuk dua beradik dan bapa saudara mereka ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kes pembakaran Gereja Metro Tabernacle dua minggu lalu.

Pada kejadian 8 Jan itu, gereja berkenaan dilempar bom api, dipercayai berkaitan kontroversi penggunaan kalimah Allah oleh majalah gereja katolik The Herald.

Hishammuddin berharap tindakan cekap dan pantas polis menahan lapan suspek itu dapat membuka mata pelbagai pihak terhadap kesungguhan serta komitmen polis dalam menyelesaikan kes itu bagi mewujudkan suasana tenang dan selamat dalam negara.

Katanya kejayaan itu juga menggambarkan keupayaan polis dalam mengawal keadaan keselamatan negara sekaligus memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Beliau berkata polis sentiasa memantau isu itu secara dekat kerana ia menyentuh sensitiviti agama di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Kita sedar impak dan kesan buruknya kepada rakyat dan negara jika isu ini tidak ditangani secara bijak.

"Justeru, saya ingin menasihati semua pihak terutamanya pemimpin politik agar sentiasa berhati-hati, berhemah dan bertanggungjawab ketika membuat ulasan dan mengeluarkan kenyataan berhubung isu ini," katanya.

Hishammuddin berkata polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan paling tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menggugat ketenteraman dan keselamatan rakyat dan negara.


Tiada ulasan: